LONDON: Harry Maguire muncul wira Manchester United apabila meledak gol kemenangan ketika The Red Devils menumpaskan Liverpool 2-1 di Anfield, hari ini.
Dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, skuad kendalian Ruben Amorin berada di hadapan seawal minit kedua perlawanan menerusi penyudah Bryan Mbeumo.
Gol berkenaan terhasil selepas bekas penyerang Brentford itu menerima umpanan Amad Diallo untuk menumpaskan Giorgi Mamardashville di pintu gol The Reds.
Skuad kendalian Arne Slot bangkit menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi Cody Gakpo pada minit ke-78 untuk menggembirakan penyokong tuan umah.
Gol berkenaan ternyata membangkitkan semangat Liverpool untuk bangkit mencari gol kemenangan apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu United.
Bagaimanapun kealpaan barisan pertahanan menghukum Liverpool apabila Maguire muncul penyelamat United apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-84.
Keputusan itu juga menyaksikan Liverpool tewas buat kali keempat berturut-turut dalam semua perlawanan, sekali gus memberi tekanan buat pengendalinya.-UTUSAN