PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa bebas yang ditubuhkan itu tidak akan membabitkan mana-mana individu dari FAM bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan profesional.
“Tun Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, di mana beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang bagi negeri Melaka dan Kelantan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
“Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996, kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.
“Di peringkat antarabangsa pula, Tun Md Raus memegang peranan terbilang sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf,” kata FAM, hari ini.-UTUSAN










