PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun memulakan kempen Terbuka Perancis dengan penuh bergaya apabila mara mudah ke pusingan kedua di Cesson-Sevigne, malam tadi.
Pasangan No. 5 dunia itu tidak berdepan tentangan sengit apabila menundukkan wakil Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dengan keputusan 21-9, 21-13 di Arena Glaz.
Turun sebagai pilihan ketujuh kejohanan, Wei Chong-Kai Wun memperagakan aksi mantap sejak awal permainan dengan serangan konsisten yang sukar dipatahkan lawan.
Kemenangan pantas dalam tempoh 27 minit itu jelas memperlihatkan tahap keyakinan dan keserasian mereka semakin kukuh di bawah bimbingan jurulatih Herry Iman Pierngadi.
Prestasi ditunjukkan turut menjadi bukti bahawa mereka kini berada pada kelas tersendiri sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai beregu kelima terbaik dunia.
Pada pusingan kedua Khamis ini, mereka bakal berdepan cabaran pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy yang terdahulu menyingkirkan gandingan profesional negara.
Pasangan Nur Mohd. Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong yang mencipta kejutan di Terbuka Denmark minggu lalu terpaksa akur apabila tewas 14-21, 13-21 kepada beregu Britain itu.
Turut menerima nasib sama ialah pasangan campuran profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang tunduk 17-21, 17-21 kepada beregu handalan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran. – UTUSAN