PETALING JAYA: Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengakui telah mencadangkan beberapa nama pemain warisan termasuk tujuh pemain yang dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Tengku Abdul Rahman, beberapa ejen telah menghubunginya sejak akhir tahun lalu untuk memperkenalkan pemain bagi tujuan penilaian dan nama yang dicadangkan itu kemudian diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk penilaian lanjut.
Baginda berkata, semua cadangan yang dikemukakan dibuat dengan niat yang baik dan melalui prosedur yang sah dengan tujuan memperkukuhkan skuad Harimau Malaya.
“Saya memanjangkan cadangan terbabit kepada FAM untuk dinilai dengan lebih terperinci bagi menentukan sama ada pemain-pemain berkenaan memenuhi syarat sebagai pemain warisan dan seterusnya dipertimbangkan untuk menyertai skuad kebangsaan.
“Antara pemain yang pernah saya syorkan kepada FAM termasuklah tujuh pemain warisan yang kini terbabit dalam kes siasatan dan sekatan oleh FIFA,” titah Tengku Abdul Rahman dalam satu kenyataan.
Tengku Abdul Rahman turut memberikan contoh beberapa pemain yang telah melalui proses naturalisasi di Pahang sebelum ini seperti Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero dan Lee Tuck untuk memperkasakan skuad negara.
Baginda percaya bahawa penglibatan pemain warisan dan naturalisasi boleh memberi nilai tambah yang amat diperlukan kepada skuad kebangsaan.
“Setiap usaha yang dapat membantu mempertingkatkan standard bola sepak Malaysia akan sentiasa saya sokong,” titah baginda.
Tengku Abdul Rahman turut menyatakan penghargaan atas visi serta komitmen Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam usaha meningkatkan kualiti bola sepak tanah air dan menjadikan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai contoh terbaik profesionalisme serta pengurusan moden dalam arena bola sepak tempatan.-UTUSAN









