PETALING JAYA: Harimau Malaya perlu menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan biarpun menang 3-0 ke atas Laos dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Khamis lalu.
Berdepan lawan yang sama pada Selasa ini, Harimau Malaya dituntut lebih berani merobek gawang lawan, sekali gus membuktikan Malaysia tidak terkesan dengan masalah luar padang.
Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, Malaysia sepatutnya menang dengan jumlah jaringan lebih besar pada Khamis lalu, namun dihampakan penyudah tumpul.
“Kita memang kuasai permainan, cuma jaringan tak banyak sebab peluang yang ada tidak disudahkan. Untuk menjaringkan gol, pemain mesti berani buat larian ke depan.
“Mereka juga kena berani melakukan hantaran berisiko dan yakin dengan keputusan sendiri untuk mencari jaringan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mengulas kehilangan tujuh tonggak warisan yang dihukum oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Wan Jamak berkata, perkara itu dirasai pasukan negara.
Katanya, ketiadaan tujuh pemain warisan itu sememangnya memberi kesan terhadap keseimbangan pasukan, namun situasi tersebut perlu dijadikan pembakar semangat.
“Saya cabar mereka untuk buktikan bahawa pemain tempatan juga mampu beraksi lebih baik daripada pemain warisan. Ini peluang mereka tunjuk kehebatan sebenar,” katanya.
Ditanya tentang prestasi Romel Morales yang gagal menemui sentuhan jaringan, Wan Jamak mengakui pemain mampu kembali menyerlah selepas menjalani latihan intensif.
“Romel mungkin kehilangan sedikit rentak ketika ini, tapi dia masih pemain yang berkualiti tinggi. Saya yakin dengan keyakinan dan latihan yang betul, dia mampu memberi impak besar buat pasukan,” katanya.
Ketika ini Malaysia berada di puncak Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 dengan sembilan mata maksimum selepas tiga perpawanan mengatasi Vietnam (6 mata), Laos (3 mata) dan Nepal.-UTUSAN