Syafiq tekad buru hatrik emas

Syafiq tekad buru hatrik emas

Muhammad Syafiq Puteh memperagakan aksinya dalam acara 3 meter papan anjal di Sukan Kemboja 2023. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerjun berpengalaman negara, Muhammad Syafiq Puteh tekad memburu hatrik emas dalam acara terjun 3 meter (m) papan anjal lelaki pada Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Atlet berusia 30 tahun itu bakal membuat penampilan keenam di temasya dwitahunan tersebut sejak debut di Singapura 2015, dan mengintai gelaran ketiga berturut-turut selepas menang emas di Vietnam 2021 dan Kemboja 2023.

“Sudah tentu, sebab saya ingin mempertahankan emas saya di Kemboja dua tahun lepas.

“Saya harap Sukan SEA Thailand kali ini saya akan dapat mempertahankan lagi emas saya,” kata Syafiq ketika ditemui selepas sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Syafiq baru pulang dari Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India, dengan dua pingat perak menerusi acara 1m papan anjal individu dan 3m papan anjal seirama bersama rakan sepasukan, Elvis Priestly Clement.

Katanya, kejohanan itu menjadi medan penting bagi menguji prestasi serta memantapkan aksi sebelum turun ke kolam terjun di Bangkok Disember nanti.

“Persediaan kali ini berjalan baik sebab baru balik dari India, dan hujung bulan ini saya ada Terbuka Malaysia, itu pun persediaan ke SEA Games,” jelasnya.

Selain turun sebagai penyandang juara, Syafiq sekali lagi akan memikul tanggungjawab sebagai penerjun senior membimbing barisan muda negara seperti Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim, Elvis dan Yong Rui Jie di Thailand nanti.

“Ini kali kedua saya jadi senior, saya percaya junior-junior saya boleh buat yang terbaik sebab mereka bagi lebih 100 peratus dalam latihan,” ujarnya.

Mengenai masa depan, Syafiq tidak menolak kemungkinan temasya 2027 di Kuala Lumpur bakal menjadi penampilan terakhirnya, namun buat masa ini fokusnya hanya satu iaitu memastikan emas 3m papan anjal terus kekal milik Malaysia.

Untuk rekod, sejak edisi 2013 di Myanmar, skuad terjun negara menyapu bersih semua pingat emas yang ditawarkan kecuali pada Kuala Lumpur 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×