Skuad Sepak takraw negara tidak boleh selesa

Skuad Sepak takraw negara tidak boleh selesa

AZLAN Alias menjadi pilihan utama mengisi posisi apit kanan Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Sepak takraw negara tidak boleh selesa walaupun undian acara sepak takraw Sukan SEA 2025 di Thailand kali ini dilihat seimbang, khususnya bagi pasukan lelaki.

Ketua Jurulatih Sepak Takraw Negara, Ahmad Jais Baharun berkata, biarpun kedudukan dalam kategori berpasukan, regu dan kuadran kelihatan seimbang, pemain perlu kekal fokus dan tidak memandang ringan setiap perlawanan.

“Secara peribadi, saya lihat undian untuk pasukan lelaki agak seimbang, tetapi kita tidak boleh berasa selesa.

“Yang paling penting adalah fokus memenangi setiap perlawanan dan mempamerkan prestasi yang lebih konsisten serta meyakinkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, pendekatan berdisiplin dan permainan bertenaga perlu diteruskan agar pasukan negara mampu mara ke separuh akhir dan seterusnya ke pentas akhir, sekali gus mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Sementara itu, Ahmad Jais mengakui laluan lebih mencabar menanti skuad wanita apabila diundi dalam kumpulan maut dalam semua acara.

“Kalau kita lihat bagi pasukan wanita, undian kali ini memang lebih mencabar berbanding pasukan lelaki.

“Namun, mereka juga mempunyai peranan besar untuk memberi kejutan dan suntikan semangat kepada kontinjen negara,” jelasnya.

Malaysia dijangka tidak berdepan halangan besar dalam misi memburu kejuaraan acara Kuadran Lelaki selepas undian menempatkan skuad negara dalam Kumpulan B bersama Kemboja, Laos, Singapura, Brunei dan Vietnam.

Dalam pada itu, bagi acara Regu Lelaki, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Laos dan Vietnam sekaligus merupakan satu kumpulan yang dijangka sengit tetapi masih dalam jangkauan kemampuan skuad negara.

Sementara bagi acara Berpasukan Lelaki, anak buah Ahmad Jais akan berdepan Myanmar, Filipina dan Singapura dalam Kumpulan A, dengan keyakinan tinggi untuk mengekalkan dominasi serta memastikan nama Malaysia terus gah di pentas serantau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN