Singapura, Thailand gugat empayar emas terjun Malaysia

Singapura, Thailand gugat empayar emas terjun Malaysia

PENERJUN negara, Muhammad Syafiq Puteh (tengah), menjadi satu-satunya penerjun senior ke pentas Sukan SEA 2025. GAMBAR: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amaran awal buat skuad terjun negara menjelang Sukan SEA Thailand 2025 apabila kuasa baharu seperti Singapura dan Thailand kini dilihat semakin hampir untuk memadam dominasi Malaysia yang sudah bertahan lebih sedekad.

Sejak edisi 2013 di Myanmar, skuad terjun negara menyapu bersih semua pingat emas yang ditawarkan kecuali pada Kuala Lumpur 2017 apabila pingat emas bekas ratu terjun negara, Wendy Ng bagi acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita ditarik balik akibat gagal ujian doping.

Bekas raja papan anjal negara, Ooi Tze Liang yang bakal membuat penampilan pertama sebagai jurulatih selepas enam kali beraksi sebagai atlet, mengakui keputusan tuan rumah menggugurkan beberapa acara Olimpik kali ini berpotensi menggugat peluang Malaysia untuk terus menguasai kolam terjun rantau ini.

“Ini kali pertama acara Olimpik digugurkan dan ia sangat pelik. Sebelum ini Sukan SEA Kemboja 2023 potong acara, tapi tak pernah potong acara Olimpik.

“Ada acara hanya untuk wanita, tapi tiada lelaki. Ada lelaki, tiada acara wanita. Ini jelas strategi mereka. Kalau semua acara standard dipertandingkan, sudah tentu kita ada peluang cerah,” kata pemenang pingat emas 12 kali Sukan SEA itu.

Langkah itu nyata memberi kelebihan kepada negara tuan rumah, apatah lagi dengan hanya empat acara dipertandingkan iaitu tiga acara papan anjal lelaki dan satu platform seirama wanita, sekali gus mengehadkan potensi kutipan pingat Malaysia.

Namun yang lebih membimbangkan, bukan sekadar jumlah acara yang terhad, tetapi kebangkitan kuasa baharu seperti Singapura dan Thailand yang kini sudah mampu menyaingi penerjun negara di peringkat dunia.

Penerjun muda Singapura, Ainslee Kwang mencipta sejarah apabila menjadi atlet pertama negara itu layak ke separuh akhir Kejohanan Akuatik Dunia pada Ogos dalam acara 10m platform, mengatasi juara Sukan SEA Kemboja 2023, Lee Yiat Qing yang sekadar menduduki tempat ke-29.

Catatan mata wakil Thailand, Chawanwat Juntaphadawon dan penerjun Singapura, Avvir Tham yang turut meninggalkan juara Sukan SEA, Muhammad Syafiq Puteh dalam acara papan anjal lelaki juga menjadi isyarat jelas bahawa jurang prestasi kini beralih arah.

Lebih menyentuh perasaan, antara penggerak kebangkitan Singapura ialah Wendy yang kini menjadi jurulatih pembangunan bakat di Akuatik Singapura selepas meninggalkan Wilayah Persekutuan.

Malaysia akan menurunkan barisan terbaik diketuai oleh penerjun berpengalaman negara, Syafiq dan Elvis Priestly Clement dalam acara 3m papan anjal individu, manakala Yong Rui Jie dan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim akan beraksi dalam acara 1m papan anjal.

Rui Jie turut digandingkan dengan Nurqayyum dalam acara 3m seirama lelaki, sementara pasangan muda Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj-Nurul Farisya Alia Affendi akan mengetuai cabaran wanita dalam acara 10m seirama platform.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN