Selangor tidak mahu selesa dengan jaringan besar

Selangor tidak mahu selesa dengan jaringan besar

PEMAIN Selangor meraikan kejayaan mereka menumpaskan Negeri Sembilan FC dalam suku akhir pertama Piala FA, semalam.- IHSAN SFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekalan empat gol dalam pusingan pertama saingan suku akhir Piala FA belum cukup untuk meletakkan Selangor FC dalam kedudukan selesa ke peringkat separuh akhir.

Pemangku ketua jurulatih Selangor, Christophe Gamel berkata, dalam dunia bola sepak, apa sahaja boleh berlaku dan kelebihan jaringan besar boleh dipadamkan bila-bila masa pada pusingan kedua.

Katanya, rasa selesa dan lalai sementara menunggu pusingan kedua boleh menjerumuskan pasukan kepada situasi yang tidak diingini.

“Ini adalah pusingan pertama yang baik dan memihak kepada kami dan dalam pusingan kedua, kami perlu melakukan perkara yang sama jika kami mahu pergi ke separuh akhir.

“Tetapi kita perlu kekal fokus dengan perjalanan kejohanan ini,” katanya selepas perlawanan pusingan pertama suku akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.

Perlawanan itu menyaksikan Selangor FC menumpaskan NSFC dengan jaringan 4-0.

Gol Gergasi Merah disumbangkan oleh Faisal Halim pada minit ke-33 dan 63, Chrigor Flores Moraes (m-47) dan Zach Paul John Clough (m-55).

Dalam aksi berkenaan, Faisal yang leih dikenali dengan gelaran ‘Mickey’ beraksi dengan cemerlang apabila selain meledak dua gol, dia juga menjadi pencetus jaringan Moraes dan John Clough.

Bagaimanapun, Gamel enggan mendabik dada dengan prestasi yang ditunjukkan Faisal dengan meletakkan kerjasama secara berpasukan adalah lebih utama berbanding mana-mana pemain.

Namun, jurulatih dari Perancis itu tidak dapat menyembunyikan keterujaannya terhadap pemain tersebut yang baru pulang daripada menyertai pasukan kebangsaan dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

“Saya fikir dia adalah pemain terbaik perlawanan malam ini dengan menunjukkan dedikasi yang tinggi bersama rakan sepasukan yang lain.

“Dia kembali sangat kuat daripada segi mental terutamanya apa yang berlaku pada masa lalu dan ia telah membantu dia menjadi seperti sekarang,” katanya- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN