MILAN: Pelumba muda Perancis, Paul Seixas mencetuskan sensasi dalam dunia berbasikal apabila berani menyatakan hasrat mahu menewaskan juara empat kali Tour de France, Tadej Pogacar, namun hanya apabila bintang Slovenia itu berada di kemuncak prestasi.
Anak muda berusia 19 tahun dari pasukan Decathlon AG2R La Mondiale itu mempamerkan kayuhan luar biasa apabila menamatkan perlumbaan klasik Il Lombardia di tempat ketujuh, sekali gus menjadi pelumba termuda menembusi kelompok 10 terbaik dalam sejarah sejak 1917.
“Dia antara pelumba paling lengkap di dunia. Dalam setiap perlumbaan yang disertainya, dia sentiasa bersedia untuk menang.
“Dia menjadi inspirasi kerana itulah cara untuk menjadi pelumba serba boleh dan mampu menjuarai kejuaraan keseluruhan. Kami cuba memahami bagaimana dia melakukannya. Untuk menewaskannya secara adil tidak akan berlaku dengan segera, kami perlu berlatih lebih keras untuk mencapainya,” kata Seixas.
Seixas mengakui amat mengagumi kehebatan Pogacar yang baru sahaja mencipta sejarah menjuarai Il Lombardia buat kali kelima berturut-turut, namun menegaskan kejayaan itu menjadi motivasi untuk dirinya terus memperbaiki prestasi.
Menurutnya, perbezaan generasi antara mereka bukan penghalang, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk menewaskan Pogacar ketika juara dunia itu masih di puncak prestasi, bukan selepas prestasinya merosot.
“Sasaran saya bukan untuk kalahkan dia apabila dia sudah menurun, tetapi ketika dia berada di tahap terbaik. Untuk menang hari ini, seseorang perlu berada di tahap sepertinya,” katanya.
Tambah Seixas, faktor jarak perlumbaan dan rentak kayuhan tinggi di Il Lombardia mungkin menjadi sebab dia gagal menamatkan perlumbaan di kedudukan lebih tinggi, namun pencapaian luar biasa itu membuktikan masa depannya dalam sukan berbasikal dunia amat cerah. – AGENSI