Proses naturalisasi Mintah belum lengkap

Proses naturalisasi Mintah belum lengkap

PROSES naturalisasi Jordan Mintah masih belum lengkap.-IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah masih menunggu dokumen penting bagi melengkapkan proses naturalisasi sebelum layak beraksi bersama skuad kebangsaan.

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski juga tidak memberi sebarang jaminan untuk Mintah diturunkan dalam aksi timbal balik menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

“Saya tidak pasti sama ada beliau sempat beraksi Selasa ini kerana masih ada dokumen yang perlu disahkan.

“Ini adalah sebahagian daripada proses naturalisasi beliau selama lima tahun,” katanya selepas perlawanan menentang Laos pada Khamis lalu yang memihak 3-0 kepada Malaysia.

Cklamovski menegaskan beliau tidak terlibat secara langsung dalam urusan dokumentasi tersebut dan hanya menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan.

“Ia di luar kawalan saya. Apabila semuanya diluluskan, barulah beliau boleh disenaraikan bersama pasukan,” tambah jurulatih kelahiran Australia itu.

Nama Mintah sebelum ini menjadi sebutan selepas disenaraikan dalam kem latihan pusat Harimau Malaya dan dijangka membuat penampilan sulung menentang Laos.

Namun, peminat terpaksa menunggu sedikit masa lagi untuk melihat kehadirannya di pentas antarabangsa.

Difahamkan, jika urusan dokumentasi berkenaan selesai mengikut jadual, Mintah dijangka tersenarai dalam aksi timbal balik Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN