SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) tumbang di laman sendiri selepas tewas kepada Selangor FC, 0-4, dalam saingan pusingan pertama suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Seramai 25,550 penonton yang memenuhi stadium menyaksikan bagaimana Selangor FC membenam pasukan tuan rumah dengan jaringan besar.
Penyerang sensasi Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim muncul wira apabila menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-33 dan 62 permainan dan mencipta satu gol.
Seawal minit ke-24, Faisal hampir meletakkan Selangor FC di depan namun rembatan leret pemain kebangsaan itu tersasar di kanan tiang gol NSFC.
Tiga minit selepas itu, pemain import NSFC, Takumi Sasaki yang tidak dikawal mendapat peluang pada jarak 30 meter tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.
Faisal meletakkan Selangor FC di depan dengan jaringan pada minit ke-33 sebaik saja menerima lorongan bola dari bahagian tengah padang.
Larian pantas pemain itu gagal disaingi pertahanan NSFC sebelum beliau memperdayakan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Azri Abdul Ghani dan menolak masuk bola ke gawang.
Memasuki separuh masa kedua, Selangor FC terus mempamerkan keupayaan membolos kubu pertahanan tuan rumah.
Hasilnya, Chrigor Flores Moraes menjaringkan gol kedua pelawat hanya dua minit selepas perlawanan separuh masa kedua bermula.
Selangor FC terus melebarkan jaringan pada minit ke-55 melalui pemain tengah, Zach Paul John Clough yang menanduk masuk bola hantaran Faisal Halim dari kanan gol tuan rumah.
Ketinggalan tiga gol, NSFC seakan-akan hilang penguasaan apabila gawang pasukan itu terus dibolosi pemain lawan.
Faisal Halim sekali lagi mempamerkan kemahiran larian pantas beliau gagal disaingi dari arah kanan pintu gol dengan sepakan leret yang gagal diselamatkan oleh tiga pemain pertahanan dan penjaga gol NFSC.
Empat jaringan itu meletakkan Selangor FC pada kedudukan selesa ketika melayan kunjungan NSFC di Petaling Jaya pada pusingan kedua pada 29 Oktober kelak. – UTUSAN