KELANA JAYA: Malaysia menjadi antara negara terawal menerima manfaat daripada inisiatif global terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dikenali sebagai Arena FIFA, membabitkan pembinaan sekurang-kurangnya 1,000 padang mini bola sepak di seluruh dunia.
Program Arena FIFA menjadi sebahagian usaha badan induk itu menjadikan bola sepak sebagai pemangkin pembangunan sosial sejagat, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya dalam aspek pendidikan, kesaksamaan jantina dan pembinaan komuniti sihat.
Setiap padang mini dibina berukuran 20×40 meter serta dilengkapi rumput tiruan berkualiti tinggi, pagar keselamatan, dinding dan jaring keliling bagi memastikan keselamatan pemain muda ketika beraksi.
Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, setiap negara anggota akan menerima dua padang mini pada fasa awal pelaksanaan dengan setiap satu padang diperuntukkan AS$50,000 (kira-kira RM236,000).
“Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Kami berharap lebih banyak pihak swasta turut serta bagi memperluas pelaksanaannya di masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Arena FIFA di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, semalam.
Sementara itu, Malaysia turut mencatat satu lagi kejayaan penting apabila melancarkan Pusat Latihan Kebangsaan baharu di Putrajaya, hasil pembiayaan bersama menerusi program FIFA Forward dan kerajaan Malaysia.
Fasa pertama projek bernilai RM69 juta itu menampilkan tiga padang bersaiz penuh, merangkumi padang tiruan, padang semula jadi dan padang rumput hibrid yang dilengkapi lampu limpah, pagar keselamatan serta sistem penuaian air hujan yang mesra alam.
Langkah itu bukan sekadar memperkukuh infrastruktur bola sepak tempatan, malah melambangkan komitmen Malaysia dalam memperkasakan pembangunan akar umbi sukan nombor satu dunia itu.
Dengan sinergi antara FIFA, kerajaan dan FAM, projek ini dilihat mampu membuka lembaran baharu dalam melahirkan generasi pemain berkualiti tinggi sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembangunan bola sepak serantau.-UTUSAN










