LTdL 2025 tutup tirai dengan cemerlang

LTdL 2025 tutup tirai dengan cemerlang

PELUMBA pasukan XDS Astana, Aaron Gate meraikan kemenangan peringkat terakhir Le Tour De Langkawi(LTDL) 2025 selepas cemerlang melakukan kayuhan bertenaga sepanjang 108.2km dari Tangkak ke Kuala Lumpur, semalam-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjuran Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 menutup tirai dengan manis selepas keseluruhan aspek teknikal dan perlumbaan mendapat penilaian cemerlang daripada panel komisar antarabangsa.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, Emir Abdul Jalal berkata, penganjuran edisi ke-29 mendapat penarafan “all green” oleh presiden dan barisan komisar serta pengarah perlumbaan.

Katanya, penarafan itu membuktikan tiada sebarang kelemahan ketara dikesan sepanjang kejohanan berlangsung dan LTdl kekal sebagai perlumbaan yang berprestij di peringkat antarabangsa.

“Kita sangat lega kerana tahun ini semua penilaian positif. Dari segi teknikal dan keseluruhan penganjuran, mereka menilai LTdL kekal setaraf dengan kejohanan berstatus World Tour,” katanya kepada pemberita.

Emir berkata, tiada kesilapan besar dikesan dalam urusan penganjuran dan beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan teknikal, sukarelawan serta semua pihak terlibat yang memastikan kejayaan perlumbaan berprestij itu.

Mengulas mengenai masa depan LTdL selepas tempoh tiga tahun penganjuran di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berakhir tahun ini, Emir berkata keputusan akan bergantung kepada kerajaan.

“Tahun ini memang tahun terakhir di bawah struktur sedia ada. Namun, kami sudah melakukan yang terbaik sepanjang tiga tahun ini, termasuk mengharungi fasa pemulihan selepas pandemik.

“Pasukan di MSN menunjukkan prestasi mantap berdasarkan laporan teknikal dan kami berharap kesinambungan dapat dikekalkan. Apa pun, keputusan muktamad terletak kepada kerajaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan harapan agar mana-mana penganjur selepas ini dapat mengekalkan reputasi LTdL sebagai perlumbaan berbasikal terbesar dan terulung di Asia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN