Kristoff akhiri karier profesional di Malaysia

Kristoff akhiri karier profesional di Malaysia

Pelumba Uno-X Mobility, Alexander Kristoff diberi penghormatan “guard of honour” di Tangkak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Legenda pecut Norway, Alexander Kristoff menutup tirai karier gemilangnya dalam suasana penuh emosi apabila diraikan dengan guard of honour sebelum bermulanya peringkat terakhir Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Tangkak ke ibu negara, semalam.

Pelumba berusia 38 tahun dari pasukan Uno-X Mobility itu tidak dapat menyertai perlumbaan terakhir selepas terbabit dalam kemalangan pada peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini kelmarin, namun sempat menyertai peloton untuk upacara perpisahan di Dataran Tangkak.

“Saya sudah pun bersara hari ini kerana tidak boleh berlumba akibat kemalangan, tapi penghormatan sebegini amat bermakna.Saya memang berharap dapat menamatkan perlumbaan, namun diraikan begini cukup menggembirakan.

“Ia satu penghormatan besar selepas sekian lama berada dalam peloton profesional ini,” katanya.

Sepanjang lebih dua dekad kariernya, Kristoff mencatat deretan kejayaan termasuk menjuarai Milan–San Remo (2014), Tour of Flanders (2015), empat kemenangan peringkat Tour de France, dan gelaran Juara Eropah (2017), selain pernah menaiki podium di temasya Olimpik London 2012 serta Kejohanan Dunia.

Kristoff yang membuat penampilan sulung di LTdL tahun ini turut memuji penganjuran perlumbaan jelajah terbesar Asia itu.

“Ini kali pertama saya ke sini dan saya sangat kagum. Perlumbaan sangat selamat dan teratur. Kalau saya masih berlumba lagi, saya pasti akan kembali,” ujarnya dengan senyuman.

Selepas bersara, Kristoff akan terus menyumbang kepada dunia berbasikal apabila menyertai jawatankuasa penganjur Tour of Norway mulai tahun depan.

“Saya takkan jauh daripada sukan ini. Saya akan terlibat dalam penganjuran Tour of Norway. Tapi tahun depan saya juga sibuk di rumah sebab anak kelima saya akan lahir Februari nanti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN