Kidslympic Malaysia pupuk minat kanak-kanak ceburi sukan

Kidslympic Malaysia pupuk minat kanak-kanak ceburi sukan

ANTARA Aktiviti sempena program acara kemuncak Kidslympic Games 2025 di Stadium Merdeka.-UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Kidslympic Malaysia akan diteruskan sebagai acara tahunan berprestij yang dinanti-nantikan ibu bapa bagi memberi pendedahan awal kepada anak-anak dalam dunia sukan, sekali gus menyemai minat terhadap gaya hidup sihat sejak usia muda.

Pengasas bersama Kidslympic Malaysia, Goh Liu Ying berkata, sambutan luar biasa daripada ibu bapa pada edisi kali ini memberikan motivasi baharu kepada penganjur untuk memperkukuh program berkenaan dengan pengisian lebih menarik tahun depan.

GOH LIU YING

“Ini tahun kedua kita anjurkan Kidslympics dan sambutannya melebihi jangkaan. Kita berjaya mengumpulkan atlet cilik seawal empat dan lima tahun.

“Kita akan jadikan ia acara tahunan kerana matlamat utama adalah memupuk minat anak-anak terhadap sukan sejak kecil lagi,” katanya ketika ditemui selepas Kidslympic Games 2025 di Stadium Merdeka, semalam.

Bekas jaguh badminton negara itu turut teruja melihat penyertaan besar-besaran melibatkan lebih 3,000 peserta bagi acara kemuncak tersebut, termasuk Larian Grand Final yang menampilkan kerjasama unik antara ibu atau bapa bersama anak mereka.

“Tujuan kami bukan untuk berdaya saing, tetapi untuk meningkatkan semangat kekeluargaan melalui aktiviti sukan. Tahun ini matlamat itu berjaya dicapai,” katanya.

Tambah Liu Ying, penganjur juga akan meneruskan siri jelajah Kidslympic ke beberapa negeri tahun hadapan selepas melihat sambutan amat menggalakkan sepanjang tahun ini, khususnya di Selangor yang mencatat penyertaan tertinggi.

“Tahun ini kita sudah pergi ke beberapa negeri dan sambutannya sangat baik. Untuk 2026, kita harap dapat kembangkan lagi ke Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan,” ujarnya.

Acara kemuncak Kidslympic di Stadium Merdeka kali ini menampilkan pelbagai aktiviti sukan seperti olahraga, bola sepak, bola keranjang, gimnastik dan cabaran halangan, dengan matlamat utama untuk melatih minat, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN