Khabib usik McGregor

Khabib usik McGregor

KHABIB NURMAGOMEDOV (kanan) memuat naik berita penggantungan Conor McGregor selama 18 bulan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBLIN: Bekas juara dunia UFC, Khabib Nurmagomedov, sekali lagi mencuri perhatian apabila memuat naik berita penggantungan Conor McGregor selama 18 bulan seolah-olah mengusik seteru lamanya itu.

Khabib, yang pernah menundukkan McGregor menerusi kuncian dalam pertarungan bersejarah pada 2018, memuat naik kenyataan rasmi Agensi Anti-Doping Sukan Tempur (CSAD) di laman sosialnya.

Menurut CSAD, McGregor gagal memaklumkan lokasi keberadaannya pada tiga tarikh berbeza 13 Jun, 19 September dan 20 September 2024, melanggar Dasar Anti-Doping UFC.

Akibatnya, bintang Ireland itu digantung selama 18 bulan, bermula semula pada 20 September 2024, dan hanya layak kembali ke oktagon selepas 20 Mac 2026.

CSAD menjelaskan, McGregor ketika itu sedang pulih daripada kecederaan jari kaki dan tidak bersedia untuk bertarung, namun tetap menerima tanggungjawab penuh atas kesalahan tersebut.

Atas kerjasama dan penjelasan yang diberikan, hukuman standard 24 bulan dikurangkan kepada 18 bulan.

Ini merupakan kesalahan doping pertama sepanjang karier UFC McGregor.

Bagaimanapun, jaguh dua divisyen itu belum memberi sebarang komen tentang penggantungan tersebut sebaliknya, beliau baru-baru ini mengumumkan akan berehat daripada media sosial selepas menarik diri daripada pemilihan presiden Ireland.

McGregor, 37, tidak beraksi sejak mengalami patah kaki ketika menentang Dustin Poirier pada Julai 2021 dan beliau sepatutnya kembali menentang Michael Chandler pada Jun lalu, namun terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Presiden UFC, Dana White, sebelum ini memaklumkan McGregor dijangka kembali pada acara khas di Rumah Putih pada 14 Jun 2026, sempena sambutan ulang tahun ke-250 Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat namun kini, segala-galanya bergantung kepada disiplin ‘The Notorious’.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN