Kerjaya tidak halang Emma berjaya dalam sukan

Kerjaya tidak halang Emma berjaya dalam sukan

Atlet boling padang wanita negara, Emma Firyana Saroji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berdepan disiplin ketat dan jadual kerja padat sebagai sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menghalang atlet boling padang negara, Emma Firyana Saroji untuk berjaya dalam arena sukan.

Anak kelahiran Sepang, Selangor tidak melihat tugas sebagai anggota badan beruniform itu sebagai halangan besar untuknya terus berjuang dalam kariernya sebagai atlet boling padang kebangsaan.

“Saya sebenarnya main boling padang dulu, baru masuk polis sebab saya nampak potensi sukan ini besar, dan saya percaya saya boleh pergi jauh dalam sukan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Siapa sangka, Emma yang kini menjadi antara sandaran utama Malaysia di pentas antarabangsa, sebenarnya mula menceburi sukan itu secara tidak sengaja dan sekadar suka-suka ketika berusia 13 tahun.

“Saya mula main boling padang sebab nak ganti senior yang dah nak habis sekolah. Tak sangka, dari situ timbul minat,” ujarnya.

Beliau berkata, mungkin juga bakat itu mengalir dalam darahnya seperti kakaknya, Erda Firdayu Saroji yang bukan sahaja pemain berpengalaman malah kini jurulatih kebangsaan boling padang.

Anak keempat daripada lima beradik ini membesar dalam keluarga yang memahami erti usaha dan disiplin.

Dalam dunia sukan, dia sudah melalui pelbagai ujian, termasuk beraksi dalam kejohanan walaupun menanggung kesakitan akibat kecederaan buku lali

“Setiap kali melangkah ke padang, saya hanya fikir satu perkara ,nak bagi yang terbaik untuk Malaysia,” katanya tegas.

Detik paling manis dalam kariernya hadir pada Sukan Komanwel 2018, apabila dia bergandingan bersama idola sendiri, Siti Zalina Ahmad dan berjaya menghadiahkan pingat emas buat negara.

“Itu saat paling bermakna. Saya bukan saja menang emas, tapi dapat bermain bersama seseorang yang saya hormati sejak kecil,” jelasnya.

Inspirasi terbesar Emma tetap datang daripada dua wanita yang rapat dengannya iaitu kakaknya Erda dan juga Siti Zalina.

“Mereka ni bukan sekadar hebat di padang, tapi juga tabah dan berdisiplin. Melihat perjalanan mereka jatuh bangun dalam sukan ini, buat saya sedar bahawa kejayaan tak datang mudah,” katanya.

Kini, Emma memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan di bawah Program Podium di Majlis Sukan Negara (MSN).

Status sebagai atlet sepenuh masa membolehkannya memberi fokus tanpa gangguan tugasan luar.

“Buat masa ni, tiada masalah untuk bahagikan masa sebab saya sepenuh masa sebagai atlet,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN