PETALING JAYA: Sayap lincah Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi mendedikasikan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Laos kepada tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjadi pencetus kemenangan Harimau Malaya, kelmarin turut menegaskan semua tujuh pemain warisan itu ‘tetap anak Malaysia’ dan menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan
Dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Laos, Vientiane itu, Arif Aiman menjadi antara watak penting kejayaan skuad negara apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-54.
Dua lagi jaringan disumbangkan oleh kapten pasukan, Dion Cools pada minit ke-68 dan Faisal Halim menutup malam gemilang Harimau Malaya menerusi gol ketiga pada masa kecederaan (minit ke-96).
“Tahniah kepada semua rakan sepasukan yang berjuang habis-habisan malam ini. Tidak dilupakan juga tujuh pemain yang sedang berdepan penggantungan mereka tetap sebahagian daripada kami dan warganegara Malaysia.
“Kami doakan semoga urusan mereka dipermudahkan,” kata Arif selepas perlawanan.
Pemain berusia 23 tahun itu turut menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail, yang disifatkannya sebagai penyokong No.1 bola sepak tanah air.
“Terima kasih kepada semua penyokong yang terus setia bersama Harimau Malaya, dan tidak lupa kepada Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menjadi tulang belakang serta penyokong terbesar pasukan negara,” ujarnya.
Kemenangan ke atas Laos itu hadir dalam suasana getir selepas FIFA baru-baru ini mengenakan hukuman berat terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu pendaftaran tujuh pemain warisan.
Tujuh pemain terbabit ialah Hector Hevel, Jon Irazabal, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Joao Figueiredo.
Siasatan badan induk dunia itu mendapati terdapat perbezaan ketara antara sijil kelahiran asal pemain dengan dokumen yang dikemukakan FAM, sekali gus membawa kepada dakwaan pemalsuan dokumen rasmi.-UTUSAN