PETALING JAYA: Kejohanan Golf Amal Mazda ke-11 yang berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, baru-baru ini berjaya mengumpul sebanyak RM1.4 juta hasil penyertaan 200 peserta.
Kutipan hasil kejohanan anjuran Bermaz Motor Sdn. Bhd. itu akan disalurkan kepada Tabung Perubatan Mazda (MMF) dan pelbagai pertubuhan kebajikan bagi mengekalkan serta memperluaskan inisiatif kebajikan di seluruh negara.
Menariknya, kejohanan kali ini diwarnai dengan penyertaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Penaung Diraja MMF sejak 2015.

Selain baginda, kejohanan itu yang juga turut disertai para pemimpin negara, kerajaan serta dunia korporat jelas membuktikan kesatuan antara institusi diraja, kerajaan dan korporat dalam memartabatkan budaya khidmat, kepedulian dan kesediaan memberi kembali kepada masyarakat.
Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Ben Yeoh Choon San berkata, kejohanan itu telah menjadi antara inisiatif paling bermakna di bawah MMF dengan matlamat membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
“Kami amat berbesar hati dengan keberangkatan Sultan Pahang serta kehadiran para pemimpin negara. Penyertaan mereka adalah bukti bahawa apabila kepemimpinan, perniagaan dan masyarakat berganding bahu, kita mampu membawa perubahan sebenar.

“Kejohanan ini lebih daripada sekadar acara sukan, ia adalah bukti tanggungjawab kami untuk terus menyemai budaya prihatin dan kepedulian di Malaysia. Kami harap semangat ini dapat diteruskan dan menyentuh lebih banyak kehidupan masa hadapan,” katanya.
Ben Yeoh turut berkata, kejayaan mengutip dana tersebut tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu penaja dan penyumbang.
“Kami amat menghargai para penaja yang menjayakan acara ini. Dana yang disalurkan pastinya memberi manfaat kepada ribuan penerima setiap hari,” ujarnya.
Difahamkan, hasil kutipan akan disalurkan kepada Tabung Kebajikan Penyakit Kanser Mount Miriam, Persatuan Kebajikan Ahsana dan House of Love bagi tujuan rawatan kanser, perlindungan kanak-kanak serta bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan.
Turut hadir memeriahkan kejohanan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali. – UTUSAN