PETALING JAYA: Kekalahan serentak semua beregu lelaki negara di Terbuka Denmark menjadi isyarat bahaya kepada kem badminton Malaysia, sekali gus mencetus persoalan tentang tahap kestabilan dan persediaan mereka menjelang penghujung musim ini.
Tiga gandingan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Choon Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Arif Junaidi-Yap Roy King semuanya tersingkir seawal pusingan pertama, kelmarin.
Kekecewaan itu bertambah parah apabila dua pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mengikut jejak sama untuk melengkapkan hari malang buat Malaysia.
Lebih menyakitkan, kekalahan itu hadir ketika semua pasangan negara gagal menunjukkan konsistensi, sama ada dari segi rentak serangan mahupun keupayaan menyesuaikan diri dengan rentak perlawanan.
Aaron mengakui gandingan mereka langsung tidak menemui rentak permainan seperti dirancang, malah banyak melakukan kesilapan mudah yang menjejaskan peluang untuk bangkit.
“Kami banyak buat kesilapan mudah hari ini (kelmarin) dan pelan permainan kami tak menjadi langsung, itu yang menyebabkan kami tewas,” kata Aaron.
Rakan gandingannya, Wooi Yik pula menegaskan mereka sudah memberi segalanya di gelanggang, namun persembahan kali ini jauh daripada tahap sebenar yang diharapkan.
“Kami cuma masuk gelanggang untuk beri yang terbaik, tapi ya, hari ini (kelmarin) kami memang tidak bermain dengan baik,” kata Wooi Yik.
Fokus kini terarah kepada kebangkitan di Terbuka Perancis minggu depan, di mana Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai kempen menentang gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana.
Sementara itu, Sze Fei-Izzuddin yang tewas kepada juara Terbuka Arctic 2025 minggu lalu, Ben Lane-Sean Vendy dari England turut mengakui lawan mereka lebih konsisten pada set penentuan dan memanfaatkan kelemahan di tiga pukulan pertama.
“Saya rasa mereka lebih konsisten pada set terakhir. Kami pula sepatutnya lebih fokus pada tiga pukulan pertama,” kata Sze Fei.-UTUSAN