LONDON: Penyerang sensasi Manchester City, Erling Haaland melakar rekod baharu dalam kariernya apabila menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut.
Semalam, bintang Norway itu meledak gol tunggal kemenangan 1-0 City ke atas Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Gtech Community Stadium
Haaland meledak gol kesembilan dalam tujuh perlawanan liga, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 18 gol dalam 11 perlawanan untuk kelab dan negara musim ini.
Menurut Haaland, dia tidak pernah berasa lebih baik berbanding musim ini dan menyifatkan permulaan sempurna musim ini berkait rapat dengan persediaan yang dilakukan.
“Saya tidak pernah rasa sebaik ini. Ia semua tentang persediaan, bukan sahaja fizikal tetapi juga mental. Anda boleh bersedia segi fizikal, tetapi minda juga perlu fokus,” kata Haaland.
Gol tunggal ke aas Brentford itu terhasil selepas Haaland menyambar hantaran jauh Josko Gvardiol sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol Caoimhin Kelleher.
Selepas menjaringkan 36 gol liga pada musim pertama, diikuti 27 gol musim berikutnya dan 22 musim lalu, ramai menjangkakan prestasinya mungkin menurun.
Namun, Haaland tampak kembali bertenaga dan mengaitkan semangat baharunya dengan pengalaman bergelar bapa tahun lalu.
“Sejak ada anak, saya rasa tenang dan lebih fokus. Bila balik ke rumah, saya langsung tak fikir tentang bola sepak. Saya mahu beri penghargaan kepada anak saya, dia bantu saya jadi lebih baik,” katanya.
Walaupun Haaland berada dalam prestasi terbaik, pengendali Man City, Pep Guardiola mengakui beliau mahu melihat lebih banyak sumbangan jaringan daripada pemain lain.
“Dia sangat penting untuk kami musim ini, tapi kami perlukan lebih banyak gol daripada pemain sayap dan bahagian tengah. Kami ada peluang itu dan kami akan perbaiki,” kata Guardiola.
Guardiola turut mengesahkan kebimbangan terhadap kecederaan otot yang dialami pemain tengah Sepanyol, Rodri, yang terpaksa dikeluarkan pada babak pertama.
“Ia kecederaan hamstring, mungkin dua hingga tiga minggu dia akan berehat. Kami cuba jaga dia, tapi ini lumrah bola sepak,” katanya.
Kemenangan itu mengekalkan City di tangga kelima dengan 13 mata, tiga mata di belakang pendahulu Arsenal, menjelang rehat antarabangsa minggu ini.- AGENSI