Delbove rangkul Jersi Hijau LTdL 2025

Delbove rangkul Jersi Hijau LTdL 2025

JORIS Delbove (dua dari kiri) mengesahkan gelaran juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelumba muda Perancis, Joris Delbove mengesahkan gelaran juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas mengekalkan kedudukan dalam peloton pada peringkat terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur, semalam.

Pelumba Team Total Energies itu menutup saingan lapan peringkat dengan masa keseluruhan 27 jam 17 minit 38 saat (s), sekali gus menewaskan pencabar utama dari Uno X Mobility, Anders Halland Johannessen dengan perbezaan hanya tiga saat, sekali gus satu margin kemenangan paling kecil dalam sejarah 29 edisi LTdL.

Delbove turut menjadi pelumba Perancis kedua selepas Anthony Charteau (2007) yang berjaya menyarung Jersi Hijau, selain mencipta sejarah tersendiri dengan kejuaraan paling sengit pernah direkodkan.

Tempat ketiga keseluruhan menjadi milik Yannis Voisard dari Tudor Pro Cycling yang ketinggalan enam saat, sementara catatan rekod sebelum ini dipegang Jonathan Monsalve (Androni Giocattoli) pada 2011 dengan perbezaan lima saat menewaskan Libardo Nino (LeTua Cycling Team).

Kejayaan menawan Bukit Fraser pada peringkat kelima jelas menjadi titik penting buat Delbove, sekali gus membantunya mempertahankan Jersi Hijau hingga ke garisan penamat sebagai penebus kekecewaan bapa saudaranya, Jerome, yang gagal menyerlah ketika LTdL 2000.

“Saya akan kenang pengalaman ini sepanjang hidup. Malaysia adalah negara yang indah, landskapnya memukau dan perlumbaannya penuh cabaran. Kemenangan ini amat bermakna buat saya,” kata Delbove.

Perlumbaan sejauh 180.2 kilometer itu dimenangi pelumba XDS Astana, Aaron Gate, dengan masa 3 jam 50 minit 5s, menewaskan Aivaras Mikutis (Tudor Pro Cycling) dan Nil Gimeno (Equipo Kern Pharma) yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Jersi Jingga (Raja Pecut) menjadi milik pelumba Uno X Mobility, Erlend Blikra, yang mengumpul 63 mata, meninggalkan De Kleijn (51 mata) dan Manuel Penalver Aniorte (Team Polti VisitMalta, 43 mata).

Bagi kategori Raja Bukit (Jersi Polka Dot), pelumba Patrick Eddy dari Team Picnic PostNL berkongsi 15 mata bersama Jambaljamts Sainbayar (Burgos Burpellet BH), manakala tempat ketiga milik Nil Gimeno (13 mata).

Jersi Putih selaku pelumba Terbaik Asia pula menjadi milik Nicolas Vinoukorov (XDS Astana) dengan masa 27:17:49s, diikuti Thanakhan Chaiyasombat (Thailand Continental Cycling) dan Sainbayar di tempat ketiga.

Kategori Pasukan Terbaik Keseluruhan dimenangi Team Polti Visit Malta dengan masa 81:53:46s, diikuti Unibet Tietema Rockets (81:54:39s) dan Burgos Burpellet BH (81:55:28s).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN