Cklamovski mahu tutup 2025 dengan rekod bersih

Cklamovski mahu tutup 2025 dengan rekod bersih

Peter Cklamovski bersama skuad Harimau Malaya selepas perlawanan menentang Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya berazam menutup tirai tahun ini dengan rekod bersih apabila turun menentang Nepal dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 18 November ini.

Perlawanan itu bukan sahaja peluang untuk mengekalkan rekod tanpa kalah tahun ini, malah menjadi medan penting memastikan skuad kendalian Peter Cklamovski terus berada di landasan terbaik untuk ke Piala Asia 2027.

Sejak mengambil alih pasukan pada awal tahun ini, pengendali kelahiran Australia itu membawa perubahan ketara apabila Harimau Malaya mencatat enam kemenangan daripada tujuh perlawanan, sama ada dalam aksi persahabatan mahupun saingan kelayakan.

Malaysia membuka tahun gemilang 2025 dengan kemenangan 2-0 ke atas Nepal, sebelum menundukkan Vietnam 4-0, Singapura 2-1, dan Palestin 1-0.

Momentum cemerlang itu diteruskan dengan dua kemenangan bergaya menewaskan Laos 3-0 dan 5-1, manakala satu-satunya keputusan seri hadir menentang pasukan yang sudah layak ke Piala Dunia 2026, Cape Verde 1-1.

Cklamovski berkata, beliau mahu momentum kemenangan itu dikekalkan apabila pasukannya kembali ke kem latihan bulan depan.

Tegasnya, beliau juga berharap pada pertemuan berdepan Nepal bulan depan, anak buahnya akan lebih ‘bernafsu’ memburu kemenangan bagi mengekal Malaysia di kedudukan teratas Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

“Buat masa ini, kami mendahului kumpulan dan itu sesuatu yang positif. Namun, saya mahu pemain kekal fokus dan tampil lebih bernafsu untuk aksi terakhir menentang Nepal.

“Tiga mata penting untuk kita raih bagi menutup tahun ini tanpa kalah, selain menegaskan status kita sebagai pasukan terbaik Kumpulan F,” katanya.

Ketika ini, Malaysia mendahului Kumpulan F dengan 12 mata maksimum selepas empat perlawanan, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (3 mata) dan Nepal (0 mata).

Aksi menentang Nepal di Bukit Jalil dijangka menjadi penutup sempurna bagi tahun penuh kebangkitan Harimau Malaya di bawah kendalian Cklamovski dan ia satu tanda jelas bahawa skuad negara kini berada di landasan kukuh menuju Piala Asia 2027.

Bagaimanapun, hukuman Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan menyaksikan maruah bola sepak tanah air tercalar.

Malah, sehingga kini ia masih menjadi persoalan sama ada badan induk bola sepak negara atau badan induk bola sepak dunia itu dipihak yang benar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN