KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri kecewa dengan prestasi Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri yang tersingkir awal dalam acara pecut individu Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Santiago, Chile, semalam.
Menurutnya, catatan masa yang dilakukan Izzah tidak menggambarkan kemampuan sebenar pelumba berusia 22 tahun itu berdasarkan prestasi yang ditunjukkan ketika latihan sebelum ini.
“Agak kecewa dengan masa dia, masa training dia yakin dengan masa itu. Saya tahu dia boleh buat catatan yang lebih baik daripada itu,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam aksi kelayakan, Izzah menamatkan saingan di tempat ke-26 daripada 34 pelumba dengan catatan 11.42 saat (s) sebelum tewas kepada Ellesse Andrews pada pusingan pertama.
Harnizam berkata, aksi menentang juara Olimpik Paris 2024, Andrews dari New Zealand tetap memberi pengalaman berharga kepada Izzah yang pertama kali bertemu pelumba kelas dunia itu.
Katanya lagi, faktor gementar serta ketiadaan rakan sepasukan mungkin mempengaruhi keyakinan Izzah yang turun seorang diri pada kejohanan berprestij itu.
“Ya, ini pengalaman baru untuk dia. Masa perlumbaan pun dia kayuh dengan baik, cuma tak ada pecutan di laluan selekoh itu.
“Boleh nampak perasaan gementar itu ada, mungkin juga sebab dia kali pertama berlumba tanpa rakan sepasukan,” katanya.
Mengulas prestasinya, Izzah mengakui kecewa namun tetap melihat kekalahan itu sebagai peluang untuk menimba pengalaman dan memperbaiki kelemahan teknikal menjelang acara keirin Ahad ini.
“Memang bukan rezeki kali ini, tapi banyak benda yang saya boleh belajar. Untuk acara keirin nanti, saya akan cuba beri yang terbaik dan harap dapat tebus semula prestasi saya,” katanya.-UTUSAN










