Azroy mahu tebus kecewa di SIC

Azroy mahu tebus kecewa di SIC

AKSI Pelumba PETRONAS MIE Racing RW, Azroy Hakeem Anuar pada sesi latihan bebas pertama Moto2 ketika Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia 2025 di Petronas Litar Antarabangsa Sepang, semalam. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Azroy Hakeem Anuar berharap dapat menebus kekecewaan dalam penampilan ketiga selaku pelumba ‘wild card’ Moto2 pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), esok.

Bernaung di bawah pasukan Petronas MIE Racing RW, Azroy berkata, dia nekad untuk melakukan apa sahaja demi mendapatkan keputusan yang dimahukannya berbanding dua penyertaan pada GP Malaysia sebelum ini.

Bagaimanapun, kata Azroy, dia terlebih dahulu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tayar pada Kejuaraan Dunia yang kini menggunakan jenama Pirelli, tahun ini, berbanding Dunlop sewaktu penyertaannya pada musim 2023.

“Perubahan tayar Dunlop kepada Pirelli merupakan perbezaan besar yang diharap mampu memberikan kelebihan untuk saya bersaing lebih rapat dengan pelumba handalan dunia.

“Ini kali ketiga saya dapat tiket wildcard, tetapi kali ini cukup berbeza. Pada tahun 2023, saya guna tayar Dunlop dan tahun ini kami beralih kepada Pirelli, ini sesuatu yang baharu untuk saya.

“Daripada komen pelumba-pelumba MotoGP, mereka kata tayar Pirelli jauh lebih baik. Jadi, saya tak sabar nak uji sendiri dan merasai kelebihan tayar ini. Saya berharap catatan masa saya dapat lebih rapat dengan pelumba di barisan hadapan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Azroy berkata, walaupun tidak berpeluang menjalani sesi ujian lebih awal bersama pasukannya, namun, dia berjanji memberikan komitmen penuh dan tidak mempersiakan kepercayaan yang diberikan pasukan kepadanya.

“Sebagai pelumba, saya akan berikan segalanya di litar, saya berharap perlumbaan kali ini akan menjadi lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Ketika ditanya pula mengenai cuaca tidak menentu di Sepang, Azroy berkata, dia sebenarnya lebih selesa beraksi di atas litar kering, tetapi, jika hujan turun, ia mungkin memberi kelebihan kepadanya untuk mencatat keputusan yang lebih baik.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN