PETALING JAYA: Edisi ketiga Alliance Bank Heritage Run 2025 semalam mencatat penyertaan tertinggi sejak penganjurannya apabila menarik kehadiran seramai 5,500 peserta, menjadikan acara bertemakan kelestarian itu paling mendapat sambutan sejak diperkenalkan tiga tahun lalu.
Penganjuran kali ini turut memperkenalkan kategori separuh maraton sejauh 21 kilometer (km) yang memberi cabaran baharu kepada pelari berpengalaman.
Acara itu mendapat pengiktirafan Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE) selaras dengan usaha mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan yang menarik.
Selain menggalakkan gaya hidup sihat dan perpaduan komuniti, penganjuran tersebut juga menyokong pemeliharaan warisan budaya George Town, seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 11.4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Larian yang diadakan berlatarbelakangkan keindahan tapak warisan dunia UNESCO di George Town itu menampilkan empat kategori iaitu separuh maraton 21km, larian kompetitif 12km, larian 7km serta Larian Keluarga 3km bagi menggalakkan penyertaan semua peringkat umur.
Peserta berpeluang menyusuri jalan-jalan bersejarah dan mercu tanda ikonik di sekitar George Town sambil menyemarakkan semangat kesihatan, perpaduan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Dalam kategori lelaki 21km, David Kibet muncul juara diikuti Ow Yong Jin Kuang dan Yeow Ni Jia, manakala kategori wanita dimenangi Ong Ee Ling, dengan Wong Mi-Chi dan Yee Pei Ni masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Kategori lelaki 12km pula menyaksikan Joshua Loh Yixun dinobatkan sebagai juara, menewaskan Mohd Faizul Muhaieddin dan Muhammad Haziq Danish, sementara Alicia Toh Chia Yin mengungguli kategori wanita diikuti Lim Pei Ting dan Jacklyn Sabastian.

Semua pemenang membawa pulang pingat penamat serta hadiah wang tunai sebagai pengiktirafan atas pencapaian masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam yang turut melepaskan peserta larian berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan komitmen masyarakat terhadap gaya hidup sihat dan kelestarian.
“Larian warisan ini mencerminkan dedikasi kami untuk membina komuniti yang lebih bersatu dan mempromosikan kehidupan lestari,” kata Kellee.
Tambah beliau, penganjuran tersebut bukan sekadar acara sukan tetapi juga usaha memperkukuh nilai kebersamaan dan menghargai warisan tempatan.
“Melalui acara ini, kami bukan sahaja menghormati warisan budaya George Town, malah menggalakkan tindakan kolektif untuk memelihara legasinya buat generasi akan datang.
“Sokongan yang diterima amat membanggakan dan mengukuhkan matlamat kami sebagai The Bank For Life,” katanya. – UTUSAN










