SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan alasan penghakiman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung tindakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan sangat serius dan menjejaskan imej negara.
Menurut Hannah, banyak penambahbaikan perlu dilakukan oleh FAM berdasarkan alasan penghakiman FIFA setebal 19 muka surat itu bagi melengkapkan proses rayuan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
“Walaupun FAM telah keluarkan kenyataan mereka kata ada kesilapan teknikal, kesilapan oleh kakitangan mereka. Semua itu perlukan penambahbaikan kerana kenyataan 19 muka surat itu adalah kenyataan oleh FIFA yang sangat serius, yang menjejaskan imej negara.
“Dan saya juga faham semua peminat bola sepak tanah air semestinya marah, rasa kecewa dan mahukan penambahbaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Wira dan Wirawati Para Olahraga daripada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025, semalam.- UTUSAN