MANCHESTER: Ruben Amorim boleh menarik nafas lega selepas Manchester United meraih kemenangan pertama di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan pendatang baharu, Burnley 3-2 di Old Trafford, semalam.
Bagaimanapun, kemenangan terpaksa ditunggu pada minit ke-97 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bruno Fernandes untuk memastikan tiga mata menjadi milik United.
Amorim berdepan tekanan selepas anak buahnya tersingkir daripada Piala Liga kepada pasukan divisyen keempat, Grimsby Rabu lalu hingga ada desakan daripada segelintir penyokong mahu pengendali dari Portugal itu dipecat.
Keputusan itu membolehkan United mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan awal EPL menjelang rehat antarabangsa selama dua minggu.
“Saya tidak fikir tentang titik perubahan. Saya sudah berbincang dengan anda (media) tentang perkara ini banyak kali, jadi ia proses hari demi hari.
“Masih banyak yang perlu dilakukan, tetapi hari ini kami dapat kembali sedikit tahap sebenar kami,” kata Amorim selepas meraih kemenangan kelapan daripada 30 perlawanan EPL sejak mengambil alih United pada November tahun lalu.
Juara 20 kali Liga Inggeris itu sebelum ini melalui detik paling memalukan dalam era Amorim apabila tersingkir kepada pasukan Liga Dua buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Amorim turut menimbulkan keraguan mengenai masa depannya selepas kekalahan itu dengan berkata sesuatu perlu berubah dan dia akan memikirkan semula segala-galanya.
Pada aksi itu, Amorim menggugurkan penjaga gol Andre Onana selepas kesilapannya yang menyebabkan kedua-dua jaringan Grimsby, namun penggantinya, Altay Bayindir turut berdepan hari yang sukar.
United dikaitkan dengan usaha mendapatkan penjaga gol Antwerp, Senne Lammens, sebagai penyelesaian kepada masalah posisi itu sebelum tarikh akhir perpindahan Isnin ini.
“Bukan mudah menjadi penjaga gol Manchester United ketika ini. Tetapi jika dilihat pada gol pertama, kami sebenarnya boleh bertahan dengan lebih baik di dalam kotak penalti.
“Pemain-pemain sedikit bergelut dengan semua perkara yang berlaku di sekeliling kelab, itu normal. Jadi ia bukan hanya mengenai penjaga gol, saya fikir semua orang perlu memperbaiki diri,” jelasnya.- AGENSI