Taktikal bertahan City makan diri

Taktikal bertahan City makan diri

HAALAND dikawal ketat ketika Manchester City berdepan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pep Guardiola mengakui taktikal bertahan ketika berdepan Arsenal memakan diri selepas The Gunners bangkit untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 1-1 di Stadium Emirates, semalam.

City bermula cemerlang menerusi gol Erling Haaland seawal minit kesembilan, namun Guardiola mengambil pendekatan lebih berhati-hati pada babak kedua apabila mengubah taktikal kepada lebih bertahan.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu mengeluarkan penyerang Haaland serta Phil Foden pada babak kedua, sebelum menukar formasi kepada lima pertahanan untuk menangkis serangan bertali arus Arsenal.

Langkah itu ternyata mengundang padah apabila City hilang penguasaan bola sebelum Gabriel Martinelli meledak gol penyamaan selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid hasil umpanan menarik Eberechi Eze.

“Saya tidak percaya ada lagi rekod baharu untuk saya di negara ini. Kami tidak dibina untuk bertahan dengan lima pemain, tetapi kadang-kadang ia perlu digunakan untuk berdepan pasukan seperti Arsenal.

“Perlu diakui Arsenal lebih baik dalam perlawanan ini, perkara begitu boleh berlaku, dalam 10 tahun, sekali seperti ini tidak mengapa,” kata Guardiola yang terpaksa berkongsi satu mata dengan Mikel Arteta.

Menggunakan taktikal yang lebih sinonim dengan seteru lamanya, Jose Mourinho, ia memperlihatkan betapa terdesaknya Guardiola untuk meraih tiga mata.

Namun, percubaan itu sia-sia apabila City kini sekadar di tangga kesembilan, lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga mengakui eksperimen itu memberi tekanan kepada dirinya.

“Saya menderita. Saya tidak suka cara itu. Tetapi jika lawan bermain lebih baik, kita harus terima dan bertahan dengan apa yang ada. Minggu ini kami bertemu dua pasukan elit, Napoli dan Arsenal, dan terpaksa bermain dengan corak permainan berbeza,” katanya.

Walaupun kecewa dengan gol penyamaan Arsenal, Guardiola tetap mengambil sisi positif daripada persembahan anak buahnya.

“Saya katakan musim ini, saya tidak peduli dengan keputusan. Yang penting saya mahu lihat semangat juang tinggi itu kembali. Musim lalu ia hilang dan kami perlu pulihkannya kembali,” kata Guardiola.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN