PETALING JAYA: Kem terjun negara beraksi dengan cemerlang apabila membawa pulang dua pingat perak pada hari pertama Kejohanan Akuatik Asia di Ahmedabad, India, hari ini.
Penerjun negara, Muhammad Syafiq Puteh menghadiahkan pingat perak pertama negara menerusi acara 1 meter (m) papan anjal lelaki selepas mengumpul 333.35 mata.
Pingat emas dimenangi atlet China, Xiaohu Tai selepas mengumpul 402.95 mata manakala gangsa dimenangi rakan senegaranya, Hengnuo Lin (330.90 mata).
Seorang lagi wakil negara, Enrique Maccartney Harold menamatkan saingan di tempat ke-10 selepas mengutip 263.7 mata.
Sementara itu, gandingan Nur Eilisha Rania Abrar Raj dan Ong Ker Ying membawa pulang pingat perak dalam acara 3m papan anjal seirama wanita setelah mengutip 233.34 mata.
Pingat emas dimenangi pasangan China, Mengyuan Deng dan Linxi Ye yang mengutip 282.60 mata manakala gangsa milik Barbara Chen dan Jacqueline Chen dari Taiwan (221.10 mata). – UTUSAN