Status SOPMA punca masalah kerajaan negeri sedia peruntukan

Status SOPMA punca masalah kerajaan negeri sedia peruntukan

ZAMAKSHARI Muhammad pada sidang media penganjuran Kota Bharu Half-Marathon di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Status Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) yang tidak diiktiraf dalam mana-mana kategori di peringkat persekutuan atau negeri, seperti Sukan Malaysia (Sukma) atau Para Sukma menyukarkan bantuan dana disalurkan kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf)

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, ia merupakan antara masalah yang perlu ditangani sejak beliau mula memegang protfolio sukan negeri.

“Saya telah merujuk kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negeri (MSN) dan sebagainya tetapi menerima maklum balas sama, iaitu SOPMA tidak diiktiraf dalam mana-mana kategori sukan. Di peringkat nasional, acara sukan diiktiraf adalah Sukma bagi kategori atlet-atlet normal dan Para Sukma bagi kategori atlet berkelainan upaya.

“Manakala orang-orang pekak tidak diletakkan dalam mana-mana kategori dan itulah aspek yang membangkitkan masalah. Sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, MSN serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) memang tidak menyediakan peruntukan khusus untuk SOPMA,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Zamakshari memberitahu, kerajaan negeri tetap akan membantu dengan memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada KelSDeaf bagi meringankan bebanan kontinjen seramai 40 atlet dan pegawai pasukan dalam persiapan ke SOPMA 22 di Sarawak pada Oktober nanti.

Katanya, kerajaan negeri tidak menerima apa-apa permohonan daripada KelSDeaf berkaitan penyediaan kelengkapan pakaian baju kontinjen, namun perkara itu boleh dipertimbangkan sekiranya permohonan bagi keperluan itu dikemukakan kelak.

“Pada tahun lepas apabila KelSDeaf buat permohonan, kerajaan negeri membantu dengan menyediakan baju kontinjen. Bagaimanapun untuk tahun ini kita belum terima apa-apa permohonan berkenaan perkara itu.

“Sebab itu kita beri sumbangan tunai secara pukal, supaya KelSDeaf boleh guna untuk pelbagai keperluan. Tetapi jika mereka kemukakan permohonan, kita boleh mempertimbangkan sebab saya rasa tidak perlu masa yang lama untuk menyediakan pakaian kontinjen,” ujatnya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan KelSDeaf memerlukan dana sebanyak RM110,000 untuk menyertai kejohanan SOPMA pada 1 hingga 7 Oktober ini di Sarawak.

Presidennya Saiful Helmie Dzamani berkata, jumlah itu bagi menampung keperluan 40 atlet termasuk pegawai sepanjang kejohanan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN