PETALING JAYA: Pemain skuasy No. 1 negara, S. Sivasangari bakal bertembung dengan wakil tuan rumah, Jasmine Hutton di suku akhir Kejohanan Skuasy Klasik London 2025.
Sivasangari yang juga juara bertahan mara ke suku akhir selepas menumpaskan Tomato Ho dari Hong Kong 11-7, 12-10 di pusingan kedua semalam dalam masa 23 minit.
Pemain No.8 dunia yang diletakkan sebagai pilihan kelima akan bertemu Hutton, hari ini, selepas wakil tuan rumah itu mengejutkan pilihan keempat, Tinne Gilis dari Belgium.
Tahun lalu, pemain berusia 26 tahun itu melakar sejarah selepas membenam bintang No. 1 serta No. 2 dunia, Nour El Sherbini dan Hania El Hammamy yang mana kedua-duanya dari Mesir serta pemain No. 4 dunia, Nele Gilis untuk menjuarai Kejohanan Skuasy Klasik.
Sivasangari yang kini berlatih di bawah bimbingan bekas jaguh No. 1 dunia, Gregory Gaultier di Prague, Republik Czech melakukan persiapan rapi untuk aksi pembukaan musim di London.
“Saya menghabiskan musim panas dengan berlatih di Prague bersama Gaultier dan juga beberapa pemain lain.
“Ini kali pertama saya meluangkan musim panas berlatih bersama Gaultier, ia satu latihan yang sangat bagus dan saya turut memberi fokus kepada proses pemulihan bagi memastikan saya bebas kecederaan,” katanya ketika ditemubual PSA Squash.
Mengintai harapan untuk beraksi lebih konsisten, anak jati Sungai Petani, Kedah itu meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok lima terbaik dunia pada musim baharu ini.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, pemain No. 12 dunia, Ng Eain Yow dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Abdulla Mohd Al Tamimi dari Qatar 8-11, 12-10, 11-9 dalam masa 43 minit.
Pada suku akhir, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu perlu mengharungi laluan getir menentang bintang No. 5 dunia, Marwan Elshorbagy dari England.
Seorang lagi wakil Malaysia, Rachel Arnold terkandas di pusingan kedua selepas dia tunduk di tangan pilihan pertama, Olivia Weaver dari Amerika Syarikat 9-11, 8-11 dalam masa 22 minit.-UTUSAN