PETALING JAYA: Kapten Harimau Malaya, Dion Cools mahu jentera serangan lebih tajam ketika berdepan Palestin dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.
Biarpun tidak bersama Harimau Malaya kerana kembali menyertai Cerezo Osaka bagi saingan Liga Jepun, pemain berusia 29 tahun itu tetap mahu melihat Malaysia meraih kemenangan.
Bagi Cools, kemenangan ke atas Singapura sebelum ini itu cukup bermakna, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk leka kerana cabaran lebih besar sedang menanti Harimau Malaya.
“Harimau Malaya perlu lebih berkesan di dalam kotak penalti dan memberi tekanan supaya lawan tidak terlalu banyak menguasai bola.
“Kami tidak dapat mengekalkan rekod tanpa bolos, tapi keseluruhannya saya rasa kami beraksi dengan baik ketika berdepan Singapura dan kami masih lagi boleh memperbaiki beberapa aspek.
“Walaupun menang ke atas Singapura, sepatutnya kami mampu jaringkan lebih banyak gol,” katanya.
Cools percaya kejayaan menewaskan Singapura memberikan suntikan moral buat skuad kendalian Peter Cklamovski, namun menegaskan Palestin yang berada di ranking 98 dunia bukan lawan mudah.
“Yang penting pasukan terus kekal dengan momentum kemenangan dan beraksi lebih baik. Kemenangan menentang Singapura jadi motivasi terbaik untuk melakar keputusan positif seterusnya,” katanya.
Selain kehilangan Cools, Harimau Malaya turut kehilangan seorang lagi benteng utama, Facundo Garces yang kembali menyertai kelabnya, Deportivo Alaves menjelang pertembungan La Liga menentang Athletic Bilbao.-UTUSAN