Ren Bao tarikan terbaru St George

Ren Bao tarikan terbaharu St George

TSEN REN BAO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Benua dari Australia, St George Continental Cycling Team kembali menghangatkan saingan lapan peringkat Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL), selepas tidak beraksi tahun lalu.

Kali ini, St George turut menyenaraikan pelumba muda dari Malaysia, Tsen Ren Bao yang dilamar pada Mac lalu, dalam senarai enam pelumbanya untuk mengharungi cabaran getir pada perlumbaan berprestij itu.

Ren Bao, anak kepada legenda negara Tsen Seong Hoong yang berkayuh kali pertama bersama skuad kebangsaan tahun lalu, pasti menjadi tumpuan peminat tempatan yang menganggapnya memiliki potensi besar.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran Ren Bao dalam pasukan St George memberikan kelebihan buat pihaknya untuk mengundang pasukan itu, selepas ARA-Skip Capital menjadi wakil Australia tahun lalu.

“Kita sedar ramai yang mahu melihat Ren Bao berkayuh dengan pasukan profesionalnya di LTdL25 ini dan kerana itulah kami mengundang St George sekali lagi selepas kali terakhir pada 2023.

“Ini merupakan satu bentuk sokongan kami untuk membantu mengembangkan karier Ren Bao sebagai pelumba profesional kerana dia adalah antara pelumba generasi baharu yang memiliki bakat dan potensi besar,” kata Emir dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada penyertaan pertamanya tahun lalu, Ren Bao pada usia 21 tahun menduduki tangga ke-56 dalam klasifikasi individu keseluruhan.

Walaupun menyertai lebih 10 perlumbaan sepanjang tahun ini, naib juara ujian masa individu (ITT) kebangsaan 2024 itu kurang bernasib baik kerana terlibat dalam beberapa insiden kemalangan dan kecederaan.

Tiga lagi pelumba muda yang disenaraikan St George ialah pelumba kelahiran New Zealand, Mitchel Fitzsimons, 22, dan Nate Hadden, 19, yang akan mencuba kepakaran mereka di laluan landai serta pelumba serba boleh Declan Tresize, 23, yang pernah berlatih dengan pasukan Astana dan ARA-Skip Capital.

Dua pelumba yang kaya dengan pengalaman dalam senarai St George kali ini adalah bekas pelumba Bolton Equities-Black Spoke, Ben Carman, 30; yang baru menyertai pasukan itu Ogos lalu, dan pelumba Britain Daniel Whitehouse, 30, yang menjadi pertaruhan mengejar kedudukan terbaik dalam klasifikasi individu keseluruhan.

Dalam kalangan enam pelumba itu, hanya Ren Bao yang pernah berkayuh di LTdL dan lebih aneh, St George tidak menghantar dua pelumba terbaiknya – Nick Kergozou dan Tom Sexton – yang lebih menyinar dalam beberapa perlumbaan sepanjang tahun ini.

Edisi ke-29 PLTdL25 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI, akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September ini dan berakhir di KLCC pada 5 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,244.2km. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN