PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) bangkit daripada episod kekalahan apabila melakar kemenangan pertama pada kempen Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) apabila menewaskan Tampines Rovers 4-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.
Keputusan itu sekali gus mengubat duka dalam dua kekalahan berturut-turut sebelum ini dan ia juga membuktikan Gergasi Merah memiliki mentaliti yang kuat meskipun berdepan kritikan berikutan prestasi yo-yo termasuk di liga domestik.
Perkara itu ditegaskan pengendalinya, Katsuhito Kinoshi selepas menyaksikan anak buahnya bangkit memperaga aksi yang terbaik selepas menerima dua kekalahan berturut-turut di tangan Bangkok United dan Kuching City FC sebelum itu.
Katanya, ini satu kemenangan yang cukup bermakna buat pasukan di mana pemain sentiasa bersatu hati di sebalik berdepan cabaran jadual padat sehingga tidak mempunyai waktu rehat mencukupi.
“Tiga mata ini ok dan kami mendapat empat gol. Tetapi ini tiga mata yang amat bermakna buat kami kerana ini membuktikan kami ada mentaliti yang kuat.
“Kami bermain untuk mereka yang menyokong kami. Ini satu kemenangan yang besar kerana apa yang penting adalah kemenangan.
“Ini bukanlah cerita mengenai kejayaan kami tetapi pengalaman seperti ini akan membuatkan kami bertambah kuat. Ini sasaran kami untuk bertanding dalam pertandingan seperti ini.
“Kami layak bertanding dalam pertandingan ini dan sebab itulah, kami perlu terus meneruskan usaha ini dan kekal dengan mentaliti seperti ini,” katanya.
Dalam aksi itu, SFC mendahului dengan dua gol menerusi jaringan Faisal Halim di minit ke-18 dan Zack Clough (m-30) sebelum pelawat menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Koya Kazama (m-41) mengakhiri babak pertama 2-1.
Tuan rumah menambah dua lagi gol pada babak kedua menerusi Faisal (m-51) dan Alvin Fortes (m-58) sebelum Hide Higashikawa memperolehi gol kedua buat Tampines Rovers pada minit ke-65.
Kemenangan itu membolehkan SFC menerajui Kumpulan A dengan empat mata, terikat dengan BG Pathum United namun berkelebihan dari segi perbezaan gol selepas BG Pathum United terlepas peluang mengutip tiga mata susulan terikat 2-2 dengan juara bertahan, Buriram United.-UTUSAN