Pasukan berkuda negara sasar tiga terbaik di Bahrain

Pasukan berkuda negara sasar tiga terbaik di Bahrain

Pasukan pelapis ekuestrian negara ketika tiba di Balai Ketibaan KLIA selepas menamatkan tempat kelima dalam Kejohanan Dunia Endurance FEI 2025 di Romania di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pasukan kuda lasak Malaysia enggan mendabik dada sebaliknya meletakkan fokus ke arah misi lebih besar dengan menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik di Sukan Remaja Asia di Bahrain pada 22 hingga 31 Oktober ini.

Pengurus Pasukan, Wan Mohd Kamaluddin Wan Yussof berkata, sasaran itu dibuat selepas pencapaian cemerlang di Romania baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia muncul selaku pasukan terbaik Asia. 

“Sebenarnya di Bahrain nanti lagi mencabar sebabnya pasukan yang kuat adalah tuan rumah dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) dan mereka akan menggunakan kuda sendiri yang memang sudah berada di sana.

“Berbeza dengan kami yang akan menggunakan kuda sewa dan bukannya milik sendiri. Itu cabaran kami. Mereka guna kuda sendiri yang sudah cukup terlatih.

“Kami guna kuda sewa dan tidak tahu bagaimana latihan yang diberikan kepada kuda-kuda itu nanti, namun kami tetap mensasarkan untuk berada dalam kelompok tiga terbaik,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Ahad lalu, pasukan muda kuda negara beraksi cemerlang di Kejohanan Dunia Endurance Remaja & Junior 2025 di Buftea, Romania selepas menamatkan saingan di kedudukan kelima daripada 28 negara keseluruhan.

Ahmad Athif Haidar yang menunggang kuda Djawad Du Barthas muncul pelumba terbaik negara apabila menamatkan saingan di tempat ke-21 individu.

Mengulas lanjut, Kamaluddin berkata, semangat berpasukan dan sentiasa mematuhi arahan jurulatih menjadi faktor utama kepada kejayaan pasukan di Romania.

“Sebelum ke Romania kami jangkakan tentangan sengit terutamanya dari UAE, Bahrain, Perancis dan Sepanyol. Alhamdulillah atlet kita bagi yang terbaik, mereka ikut arahan jurulatih dengan baik,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN