PETALING JAYA: Kehadiran pemain muda, Moses Raj mencuri tumpuan dalam kem latihan pusat skuad bawah 23 (B-23) negara menjelang Kelayakan Piala Asia B-23 yang akan bermula pada 3 September ini.
Moses dipanggil buat pertama kali oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain selepas tidak bersama skuad Harimau Muda ketika kempen Piala ASEAN B-23 di Jakarta, bulan lalu.
Lebih menarik, pemain berusia 21 tahun itu memiliki kebolehan beraksi lebih daripada satu posisi, sama ada di benteng pertahanan mahupun di bahagian tengah.
Ia jelas memberi pilihan taktikal lebih luas buat Nafuzi dalam merancang strategi pasukan.
“Saya rasa setelah pemain tersebut melapor diri, ia lagi memberi kita satu persiapan yang baik dan rapi kerana semua pemain ada dan kita boleh membentuk, mencuba beberapa gandingan seperti Moses Raj,” katanya.
Beliau menegaskan kehadiran Moses memberi peluang kepadanya untuk melihat potensi sebenar pemain itu di pentas antarabangsa.
“Ini adalah kali pertama dia bersama saya kerana sebelum ini dia tidak menyertai pasukan semasa di Jakarta,” ujarnya.
Dengan semua pemain kini sudah berada dalam kem, Nafuzi akhirnya mempunyai berpeluang menguji beberapa kombinasi baharu termasuk meletakkan Moses dalam kesebelasan utama.
Pemain itu, dijangka mampu mengawal benteng pasukan negara dalam usaha memastikan Malaysia mencipta keputusan positif pada perlawanan terbabit.
Nafuzi yang juga bekas jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, turut mengingatkan barisan mudanya supaya terus mengekalkan disiplin dan fokus sepanjang kem latihan bagi memastikan strategi dapat dilaksanakan dengan baik.
Pasukan negara membuka kempen kumpulan menentang Lubnan pada Rabu ini diikuti Mongolia pada 6 September sebelum berdepan tuan rumah, Thailand pada 9 September dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Thammasat, Bangkok.
Hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik akan mengesahkan tiket ke pusingan akhir di Arab Saudi.-UTUSAN