Misi 100 terbaik dunia pada 2026

Misi 100 terbaik dunia pada 2026

SKUAD Harimau Malaya kini menduduki ranking ke-123 dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi Harimau Malaya untuk menempatkan diri dalam kelompok 100 dunia atau sekurang-kurangnya menyamai kedudukan pasukan seperti Thailand yang kini di tangga ke-101 dunia dan Tajikistan (104) dilihat bukan sekadar impian kosong.

Berdasarkan prestasi semasa, sasaran itu diyakini mampu dicapai dengan syarat skuad kebangsaan mengekalkan momentum cemerlang dalam aksi antarabangsa pada masa akan datang serta menjadikan pasukan di ranking lebih tinggi sebagai lawan.

Kedudukan ranking terbaharu menyaksikan Harimau Malaya melonjak dua anak tangga hasil kemenangan dalam perlawanan persahabatan menewaskan Singapura dan Palestin, malah mendekati kedudukan terbaik Malaysia sepanjang dua dekad iaitu 123 dunia.

Dibawah kendalian Peter Cklamovski dan kemasukan pemain warisan berkualiti kelas ‘A’, perjalanan skuad kebangsaan menuju kedudukan ranking lebih baik berada di landasan yang tepat.

Begitupun, perburuan tiket ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi tetap menjadi keutamaan, dan peluang itu dilihat cerah berdasarkan kedudukan semasa Malaysia memimpin carta Kumpulan F dengan enam mata hasil dua kemenangan berturut-turut.

Skuad negara akan meneruskan misi layak ke Piala Asia 2027 dengan berdepan Laos dua kali pada bulan depan, dengan aksi di tempat lawan pada 9 Oktober sebelum bermain di gelanggang sendiri 14 Oktober.

Kemenangan ke atas Laos akan mengukuhkan laluan ke pusingan akhir di Arab Saudi nanti dan menambah kutipan mata dalam kedudukan ranking dunia.

Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, berdasarkan prestasi semasa dan rekod bersih dicatat Peter Cklamovski ketika ini, ia merupakan satu perkembangan cukup positif terhadap skuad kebangsaan.

Jelasnya, untuk terus mendaki kedudukan ranking, syarat utama adalah meneruskan momentum kemenangan dan kedua berdepan lawan berada di kedudukan lebih baik daripada Malaysia supaya kutipan mata mampu diraih lebih tinggi.

“Kalau kita nak teruskan momentum mendaki kedudukan ranking dunia, kita kena mengekalkan kemenangan dalam setiap perlawanan antarabangsa.

“Mungkin untuk berada dalam kelompok 100 terbaik sudah tidak sempat pada tahun ini, namun kita boleh sasarkan berada di posisi belasan (119 ke-111) yang dianggap lebih realistik.

“Ikut jadual Malaysia tidak mempunyai banyak perlawanan lagi tahun ini. Apa yang penting kita perlu memanfaatkan segala peluang yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk tahun ini, hanya ada empat lagi perlawanan antarabangsa bakal diharungi skuad kebangsaan iaitu pada bulan Oktober dan juga November.

Kedudukan paling tertinggi pernah dihuni skuad Harimau Malaya adalah pada tahun 1993 ketika pertama kali FIFA memperkenalkan sistem ranking di mana Malaysia berada di tangga ke-75 dunia, sewaktu di bawah bimbingan Ken Worden pada waktu itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN