MOTEGI: Marc Marquez berpeluang menamatkan penantian enam tahun untuk muncul juara dunia MotoGP buat kali ketujuh apabila turun beraksi di Litar Motegi, esok.
Pelumba Ducati itu hanya memerlukan tiga mata lagi berbanding adiknya, Alex Marquez, untuk mengesahkan kejuaraan dengan baki lima pusingan daripada 22 perlumbaan musim ini.
Marquez, yang kali terakhir bergelar juara dunia pada 2019, bangkit cemerlang selepas bergelut dengan kecederaan serius sejak patah tangan kanan pada 2020.
Musim ini beliau mempamerkan dominasi mutlak dengan 11 kemenangan Grand Prix daripada 16 perlumbaan serta mencatat 14 kemenangan sprint, sekali gus menjadikan 512 mata yang diraihnya rekod baharu semusim.
“Sekarang ini ia adalah kehidupan kedua saya dalam MotoGP dan ia akan menjadi penting jika kami dapat menutup semua kitaran ini dengan cara terbaik. Masih ada enam perlumbaan untuk diharungi tetapi saya mahu kekal dengan fokus penuh,” kata Marquez.
“Pendekatan kami di Motegi sama seperti perlumbaan lain. Kami mahu kekalkan prestasi dan menamatkan saingan seawal mungkin,” kata Marquez yang kini mengintai kemenangan ke-100 dalam karier MotoGP, Moto2 dan Moto3.
Litar Twin Ring Motegi begitu bermakna buatnya selepas muncul juara dunia di sana pada 2014, 2016 dan 2018.
Juara enam kali itu mengakui sudah hampir menutup kitaran besar sejak kecederaan parah yang dialami pada 2020 dan tidak gusar sekiranya perlu menunggu.
“Saya ulang sekali lagi, jika bukan hujung minggu ini, ia bukan malapetaka kerana kami masih ada lima peluang lagi di depan,” jelasnya.
Dominasi Marquez turut dipengaruhi prestasi tidak konsisten rakan sepasukan Francesco Bagnaia serta kecederaan juara bertahan, Jorge Martin.
Jika berjaya, Marquez bukan sahaja menyamai rekod legenda Valentino Rossi dengan tujuh kejuaraan dunia, malah meraikan kebangkitan luar biasa selepas empat musim suram akibat kecederaan. – AGENSI