FARMINGDALE: Eropah menewaskan kebangkitan dramatik Amerika Syarikat (AS) untuk menjulang Piala Ryder 2025 dengan kemenangan 15-13 hasil birdie enam kaki Shane Lowry di lubang ke-18, semalam.
Lowry yang jelas sebak menyifatkan detik itu paling berharga dalam hidupnya sambil berkata,
“Saya tidak percaya putt itu masuk, saya berdiri di atasnya dan berkata ‘ini peluang paling hebat dalam hidup saya.
“Saya katakan ketika berjalan di lubang 18, ‘saya ada peluang lakukan perkara paling hebat dalam hidup saya’. Piala Ryder adalah segalanya buat saya,” kata Lowry.
Kemenangan ini menandakan kejayaan ke-11 Eropah dalam 15 edisi terakhir termasuk kejayaan pertama di gelanggang lawan sejak ‘Miracle at Medinah’ 2012.
Rory McIlroy yang mengutip tiga kemenangan turut menegaskan kemenangan ini hasil semangat berpasukan luar biasa selain menutup mulut pihak yang meramal dominasi AS.
“Untuk dengar sorakan ‘Ole Ole’ di bumi AS, selepas ramai meragui kami, ia benar-benar membuktikan semangat juang pasukan ini,” kata McIlroy.
Dalam pada itu, kapten Eropah, Luke Donald turut meluahkan rasa bangga terhadap anak buahnya sambil menyifatkan ia antara cabaran paling getir pernah dilalui dalam kariernya.
“Ia adalah 12 jam paling mencabar dalam hidup saya, saya tidak sangka mereka akan berjuang sebegitu hebat, tetapi akhirnya kami berjaya,” kata Donald. – AGENSI