LONDON: Liverpool bersedia meneruskan rekod bersih mereka apabila bertandang ke Selhurst Park pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Crystal Palace yang juga belum tewas musim ini.
Skuad The Reds bermula cemerlang dengan tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan, selain lima kemenangan liga yang meletakkan mereka lima mata di depan pencabar terdekat, Arsenal.
Pengendali The Reds, Arne Slot menegaskan dia akan menurunkan skuad terbaik untuk memburu kemenangan walaupun sedar lawannya yang dihadapinya kali ini turut ‘kebal’.
Katanya, rekod lalu menunjukkan Palace lawan yang ‘liat’ untuk ditewaskan namun dia berharap pertemuan kali ini akan memihak kepada Liverpool.
“Sukar tetapi kami sentiasa turun ke padang untuk menang. Mereka pasukan yang cukup berdisplin terutama ketika bertahan dan ia menyukarkan kami, tambahan bermain di hadapan penyokong mereka.
“Rekod lalu menunjukkan mereka antara lawan paling sukar buat kami tapi untuk musim ini ia perkara berbeza. Kita akan berusaha untuk menang dan elak kekalahan,” kata Slot.
Palace kendalian Oliver Glasner ketika ini berada di prestasi terbaik apabila menghuni tangga kelima.
Juara Piala FA itu satu-satunya pasukan lain selain Liverpool yang belum tewas, malah pernah menumbangkan anak buah Slot menerusi penentuan penalti di Perisai Komuniti Ogos lalu.
Palace turut mengikat Liverpool 1-1 di Anfield pada aksi terakhir musim lalu, sebahagian daripada rekod tanpa kalah 16 perlawanan sejak April.
Tanpa Hugo Ekitike yang digantung, penyerang rekod Britain, Alexander Isak dijangka mengetuai serangan Liverpool selepas meledak gol sulung ketika menewaskan Southampton dalam Piala Liga, pertengahan minggu ini.
Isak bakal berdepan kawalan rapi pertahanan England, Marc Guehi yang hampir menyertai Liverpool sebelum perpindahan itu gagal dimuktamadkan pada hari terakhir jendela perpindahan.-AGENSI