Kos Moto3 cecah hampir RM4j semusim

Kos Moto3 cecah hampir RM4j semusim

HAKIM Danish Ramli memasang impipan beraksi dalam saingan Moto3.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua sedia maklum sukan permotoran bukanlah satu sukan yang murah dan untuk meletakkan seorang pelumba di dalam Kejuaraan Motosikal Dunia bagi kelas Moto3 memerlukan kos hampir RM4 juta semusim.

Namun daripada jumlah pelaburan itu ke atas seorang pelumba muda seperti Hakim Danish Ramli, situasi menang-menang bakal dinikmati syarikat korporat yang sudi menaja anak muda itu kerana dia bakal mengilingi dunia membawa jenama mereka.

Sebagai pelumba muda yang baru hendak bertapak dalam kejuaraan dunia, Hakim Danish bergelut untuk meraih kepercayaan penaja kerana dia belum ada rekod pencapaian di dalam perlumbaan berprestij itu.

Namun, sebagai pelumba Malaysia pertama yang meraih kedudukan ketiga keseluruhan pada Piala RedBull MotoGP Rookies bagi musim 2025, tidak memadaikah kepercayaan itu diberi kepadanya?

Ia hanya permulaan untuk mengukuhkan nama anak jati Terengganu itu di dalam kejuaraan dunia, sebelum dia mampu berdiri di atas kaki sendiri dengan pencapaian yang dicatatnya di dalam perlumbaan itu kelak.

Jika tuah mengiringinya nanti, maka, rezeki akan datang bergolek dengan sendiri jika berjaya membuktikan bakatnya amat berharga buat tanah air tercinta.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) melalui SIC Racing serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah berusaha keras mengetengah bakat Hakim Danish ke pentas dunia dan usaha terbaru ialah memberi tiket jemputan (wild card) bagi membolehkan pelumba itu membuat penampilan sulung pada Grand Prix Malaysia pada 24 hingga 26 Oktober ini.

Sekali lagi untuk berbuat demikian perbelanjaannya bukan murah, Utusan Malaysia difahamkan bagi menyediakan jentera serta kos operasi, yuran kemasukan dan keperluan lain, ia mungkin menelan perbelanjaan sehingga RM1 juta.

Mungkin juga aksinya pada GP Malaysia boleh meraih kepercayaan bahawa Hakim Danish seorang pelumba muda yang memiliki potensi, tetapi, jangkaan yang diletakkan biarlah bersesuaian dengan status wild card yang disandangnya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan-JBSN), Abd Aziz Abd Rahman memberi jaminan pihaknya sentiasa menyokong apa juga usaha yang dilakukan SIC Racing bagi mendapatkan penajaan.

“Kerajaan memang ada menyediakan dana, tetapi, kos sukan permotoran ini sangat tinggi, justeru, kita amat mengalu-alukan pihak swasta sanggup menaja Hakim Danish yang telahpun membuktikan bakatnya di pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA, Sepang, kelmarin.

Menurutnya, jika ada syarikat korporat yang berminat untuk tampil menaja, KBS mungkin boleh membantu bagi mendapatkan pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai situasi menang-menang.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN