KLWSL 2025 jadi platform pemilihan wakil Wilayah Persekutuan ke SUKMA 2026 - Utusan Malaysia

KLWSL 2025 jadi platform pemilihan wakil Wilayah Persekutuan ke SUKMA 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR- Kuala Lumpur Women’s Super League (KLWSL) kembali untuk musim keempat dengan lapan pasukan bakal berentap merebut kejuaraan bermula 6 September lalu.

Menurut Pengarah KLWSL 2025, Khushairi Aizad Jamalludin, liga itu bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi juga satu gerakan untuk memperkasa bola sepak wanita di Kuala Lumpur dan Malaysia.

Seramai 181 pemain telah berdaftar untuk musim ini, termasuk 66 pemain berusia bawah 20 tahun yang berpotensi besar untuk disenarai pendek mewakili pasukan bola sepak wanita Wilayah Persekutuan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

“Bola sepak wanita semakin berkembang di Malaysia, jadi liga ini diwujudkan bagi melahirkan lebih ramai atlet bola sepak wanita yang berkualiti.

“Melalui liga ini juga kita akan mencari wakil pasukan bola sepak wanita Wilayah Persekutuan ke SUKMA 2026,” ujar Khushairi Aizad ketika dihubungi.

Dalam pada itu, penganjuran KLWSL kali ini mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, saya yakin KLWSL akan terus menjadi platform melahirkan bakat-bakat baharu serta membina masa depan yang lebih gemilang untuk bola sepak wanita tanah air,” katanya.

Musim 2025 akan berlangsung sehingga 25 Oktober di dua lokasi utama, iaitu Arena Sukan Kuala Lumpur dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Antara pasukan yang akan berentap ialah Perdana BTR FC, Setiawangsa Rangers FC, Sunbears FC, Kelantan FA, Galaxi Girls FC, FC Japan Malaysia, Sternen FC dan Wangsa Maju City FC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN