Kane ledak 100 gol bersama Bayern

Kane ledak 100 gol bersama Bayern

HARRY Kane melakar sejarah meledak 100 gol paling pantas bersama kelab.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH: Harry Kane melakar rekod baharu selepas meledak 100 gol buat Bayern Munich dalam 104 perlawanan bersama gergasi Jerman itu merangkumi semua pertandingan.

Rekod 100 gol itu dilakar ketika meledak dua gol termasuk menerusi sepakan penalti ketika Bayern membelasah Werder Bremen 4-0 dalam saingan Bundesliga, semalam

Kapten England itu, yang sebelum ini mencetak hatrik ketika menang 4-1 ke atas Hoffenheim minggu lalu, menyempurnakan penalti minit ke-44 untuk meletakkan Bayern 2-0 di depan.

Jonathan Tah terlebih dahulu membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-22 menerusi flick belakang tumit hasil bola lantunan.

Kane kemudian menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-65 selepas bola rembatan Luis Diaz terkena pertahanan lawan, sebelum disambar penyerang itu dari jarak dekat untuk melengkapkan ke-100.

Dia mencapai angka itu lebih pantas berbanding mana-mana pemain di lima liga utama Eropah sejak 2000, mengatasi Cristiano Ronaldo dan Erling Haaland yang memerlukan 105 perlawanan.

“Prestasi hebat sekali lagi. Kami bermula baik, sepatutnya menjaringkan satu atau dua gol awal, kemudian semakin berkembang dan mendapatkan jaringan. Ia satu lagi persembahan dominan.

“Ia sesuatu yang gila bagi saya. Satu penghormatan untuk mencapai 100 gol dengan kelab hebat ini. Ia juga cerminan sumbangan rakan sepasukan dan staf kejurulatihan yang banyak membantu saya. Hebat dapat capai secepat ini, harapnya menuju 100 gol lagi,” kata Kane.

Aksi cemerlang Kane musim ini mencetus spekulasi mengenai kemungkinan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi klausa perpindahan dalam kontraknya. Namun, Kane yang memiliki kontrak hingga 2027 menegaskan perkara itu tidak berada dalam fikirannya ketika ini.

“Tidak, bukan sekarang. Saya sangat gembira di sini. Saya masih ada dua tahun lagi dalam kontrak. Saya menikmati setiap saat. Itu tidak dalam fikiran saya. Saya gembira bersama pasukan, jurulatih, dan harap kami terus berjaya,” katanya.

Penyerang berusia 32 tahun itu kini mengetuai senarai penjaring Bundesliga dengan 10 gol dalam lima perlawanan. Dia menyertai Bayern dari Tottenham Hotspur pada 2023.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN