JDT tidak gusar tanpa tiga tonggak utama

JDT tidak gusar tanpa tiga tonggak utama

KETUA Jurulatih JDT Xisco Munoz bersama pemain Shane Lowry pada sidang media menjelang Perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang kelab dari Jepun Machida Zelvia FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan menurunkan tiga pemain warisan yang berdepan tindakan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada pertemuan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Machida Zelvia, malam ini.

Tiga pemain Harimau Selatan yang terlibat penggantungan selama 12 bulan itu ialah
Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Pengendali JDT, Xisco Munoz memilih untuk tidak mengulas mengenai situasi tiga tonggak utamanya sebaliknya memberi tumpuan penuh pertemuan menentang kelab Jepun di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

“Tumpuan kami terarah bagi persiapan menentang FC Machida Zelvia dan JDT mempunyai 34 pemain yang bersiap sedia untuk diturunkan. Kita juga sudah mempersiapkan pasukan dengan taktikal yang akan digunakan menjelang pertemuan itu.

“Kesemua pemain berada di tahap terbaik untuk tersenarai dalam kesebelasan utama dan kami sudah mengenal pasti pemain yang akan diturunkan bagi memburu kemenangan pertama dalam ACLE musim ini.

“Sudah tentu Harimau Selatan akan bermain bermati-matian bagi memburu tiga mata pada perlawanan itu walaupun kita kena akui ia bukanlah tugas yang mudah kerana Zelvia merupakan pasukan yang hebat,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Sebelum ini, FIFA memaklumkan FAM dan pemain terlibat akan dikenakan tindakan tegas selepas melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Ditanya mengenai rekod pertemuan menentang kelab dari Liga Jepun yang tidak memihak kepada JDT setelah merekodkan satu kemenangan dalam 11 perlawanan, Munoz bersedia untuk memadam rekod tersebut.

Katanya, rekod lampau itu bukanlah cerminan semasa pasukan JDT yang semakin berkembang dan diperkuat dengan ramai pemain berkualiti.

“Tidak dinafikan pasukan dari Jepun mempunyai kualiti tersendiri dan kita akan mempamer corak permainan berintensiti tinggi bagi menyaingi kekuatan lawan, yang pertama kali beraksi di ACLE,” katanya.

Ujarnya, Go Kuroda sudah bersama dengan FC Machida Zelvia itu hampir tiga tahun dan telah membentuknya menjadi pasukan yang hebat dengan gaya permainan yang yang berbeza dengan pasukan lain di Liga 1 Jepun.

“JDT perlu berwaspada dan tidak terikut gaya permainan pasukan lawan yang mempunyai kelebihan fizikal dan teknikal permainan yang berbeza, saya jangka ia perlawanan yang menarik bagi dua-dua pasukan yang memburu kemenangan pertama.

“Justeru, penting buat pasukan untuk memanfaatkan peluang untuk beraksi di laman sendiri dan cuba untuk menguasai permainan seperti yang biasa dilakukan. Perlawanan ini juga menjadi ukuran melihat sejauh mana kemampuan JDT bersaing di tahap tertinggi,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN