ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamer belang apabila menjinakkan Bangkok United 4-0 dalam saingan Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi.
Ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva muncul wira pasukan apabila jaringan hatriknya pada babak kedua perlawanan bagi memastikan pasukan meraih kemenangan kedua dalam kejohanan tersebut.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan yang berhati-hati dan menunggu masa yang tepat untuk melakukan serangan ke kubu lawan.
Suhu permainan mulai panas pada minit ke-16 apabila pengadil dari Korea Selatan, Kim Hee-gon menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Bangkok Angels setelah mengesan kekasaran dilakukan Jon Irrazabal terhadap Muhsen Al-Ghassan.
Bagaimanapun, Hee-gon mengubah keputusannya itu setelah merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR) dan mendapati bek JDT itu terdahulu melakukan sentuhan bola dalam pergelutan itu.
Pasukan kendalian Xisco Munoz turut melakukan serangan balas ke kubu lawan pada minit ke-28 apabila bola rembatan Arif Aiman Hanapi ditepis penjaga gol, Patiwat Khammai namun Eddy Israfilov yang berada di posisi tepat terlepas peluang melakukan tandukan susulan.
Jentera serangan Harimau Selatan mempertingkatkan tempo serangan menerusi gerakan yang dijelmakan oleh Joao Figueiredo dan Bergson da Silva namun gagal menemui sentuhan penyudah untuk merobek gawang pasukan pelawat.
Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah mengambil masa kurang 60 saat untuk memecah kebuntuan menerusi rembatan Bergson dari luar kotak penalti menewaskan Khammai pada minit ke-46.
Jaringan itu seakan memberi tonik buat pasukan tuan rumah untuk terus menambah jaringan dan memberi tekanan kepada pasukan lawan yang masih mencari jalan mengatur perlawanan.
Hasilnya, JDT berjaya melebarkan kedudukan berpunca daripada gerakan satu dua antara Hector Hevel bersama Bergson sebelum mengumpan bola kepada Joao Figueiredo yang bijak menolak bola masuk melepasi jangkauan penjaga gol Bangkok United.
Dua minit berselang, Arif Aiman hampir menambah derita buat pasukan pelawat setelah menerima umpanan Bergson namun Khammai pantas meluru keluar menutup percubaan tersebut.
Arif Aiman sekali lagi menjadi during dalam daging buat pasukan pelawat dengan larian lincah ya namun hasrat untuk meletakkan nama dalam senarai Masih tidak kesampaian apabila rembatan dilakukan pada minit ke-64 sedikit tersasar.
Pada minit ke-73, Bergson berada di lokasi yang tepat di sebelah kanan pintu gol Bangkok United untuk menerima ‘bola muntah’ setelah Khammai menafikan percubaan Arif Aiman namun gagal menyelamatkan rembatan deras penyerang kelahiran Brazil itu.
Bangkok United cuba bangkit pada perlawanan itu setelah Luka Advic yang dibawa masuk pada babak kedua mempunyai peluang percubaan ke pintu gol namun Ahmad Syihan Hazmi Mohamed cemerlang menafikan percubaan itu.
Pada penghujung permainan, Bergson melengkapkan jaringan hatrik dan memastikan JDT menang bergaya selepas menyudahkan bola hantaran pemain gantian Jairo da Silva.- UTUSAN