PETALING JAYA: Impian Speedy Tigers untuk melangkah ke final Piala Asia 2025 lebur selepas tumpas 3-4 kepada Korea selatan dalam aksi terakhir Super 4, sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Hoki Bihar, India itu, Malaysia bermula garang, namun Korea Selatan bangkit pada lewat permainan untuk mengecewakan skuad kendalian Sarjit Singh.
Malaysia membuka tirai jaringan melalui gol padang Fitri Saari pada minit kesembilan sebelum Korea Selatan menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Kim Hyeonhong pada minit ke-24.
Skuad negara kembali berada di hadapan seminit sebelum tamat separuh masa pertama menerusi penyudah menarik Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang bijak membaca peluang terhidang.
Bersambung babak kedua, Malaysia berjaya meledak lagi menerusi pukulan sudut penalti, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-31 untuk menjadikan keduduan 3-1.
Bagaimanapun, Korea Selatan bangkit merapatkan kedudukan menerusi susunan serangan balas pantas yang disudahkan oleh Oh Seyong pada minit ke-44.
Gol itu ternyata membangkitkan semangat Korea Selatan apabila berjaya meledak dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Lee Jungjun dan Kim Hyeonhong pada minit ke-50 dan 51 untuk mendahului 4-3.
Tersentak dengan gol itu, Malaysia mengubah taktikal menggunakan ‘power play’ untuk memburu gol penyamaan, peluang terbaik hadir menerusi tiga pukulan sudut penalti, tetapi gagal disempurnakan.- UTUSAN