SEPANG: Tiada duit, tiada rundingan, itu situasi yang perlu dihadapi pelumba muda berbakat besar Malaysia, Hakim Danish Ramli ketika ini, jika berhajat meneruskan kariernya ke kancah perlumbaan Moto3 dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan.
Jika dilihat daripada sudut merit, pelumba berusia 18 tahun itu sudahpun memenuhi syarat awal yang diletakkan selepas dia menamatkan musim 2025 di kedudukan ketiga keseluruhan pada Piala RedBull MotoGP Rookies.
Namun, keputusan tidak cukup untuk Hakim Danish menjamin tempatnya di dalam Moto3 dan sokongan kewangan yang kukuh juga diperlukan kerana semua sedia maklum sukan bermotor bukanlah satu sukan yang murah.
Bagi menjawab persoalan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, sejak dulu hingga sekarang, persembahan ialah keperluan No. 1 sebagai syarat utama yang diletakkan oleh SIC.
“Alhamdulillah, tahun ini, dua pelumba kita, Hakim Danish dan Qabil Irfan telah buat yang terbaik, dan untuk tahun depan saya yakin ada tempat untuk mereka.
“Seperti Hakim Danish, kita akan cari peluang untuk dia duduk dalam Kejuaraan Dunia bagi kelas Moto3 dan harap ada pihak luar datang sambut Hakim Danish untuk bantu dia dari segi kewangan,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu menyambut kepulangan Hakim Danish dari Misano, Itali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Menurut Azhan Shafriman, SIC dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan sentiasa menyokong perjalanan karier Hakim Danish pada masa akan datang.
Katanya lagi, dari segi dana itu masih belum ada kepastian daripada pihaknya dan juga KBS, justeru, beliau menyeru kepada syarikat-syarikat korporat di luar sana yang ingin menyokong Hakim Danish, boleh berhubung dengan SIC untuk rundingan lanjut.
Azhan Shafriman berkata, Hakim Danish masih ada dua lagi pusingan untuk Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP dan jika dia dapat mengembalikan keputusan podium, dia mungkin dapat menarik sokongan penaja kerana SIC serta KBS sentiasa berada di belakangnya.
Dalam pada itu, Hakim Danish sudah membulatkan tekadnya untuk beraksi di dalam perlumbaan Moto3 dan tiada pelan B daripada pelumba muda itu melainkan beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan.
“Secara peribadi, saya memang nak pergi ke Kejuaraan Motosikal Dunia, kalau diberikan peluang dan belum ada pelan B lagi, hanya ikut arahan abang Fahmi (Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin),” katanya yang menamatkan saingan Piala RedBull MotoGP Rookies di tangga ketiga keseluruhan selepas mengumpul 171 mata.-UTUSAN