Futsal Malaysia kena fokus persiapan ke Piala Asia 2026

Futsal Malaysia kena fokus persiapan ke Piala Asia 2026

SKUAD futsal kebangsaan bergambar ketika aksi Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan.GAMBAR MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Skuad futsal negara kini perlu memberi tumpuan untuk memantapkan pasukan selepas layak secara merit ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia pada Januari depan.

Skuad kendalian Rakphol Sainetngam layak ke Piala Asia Futsal selepas menjadi pasukan keenam dalam senarai tujuh pasukan tangga kedua terbaik selepas aksi kelayakan, kelmarin.

Malaysia menamatkan aksi kelayakan Kumpulan G di Stadium Tertutup SUKPA di kedudukan kedua dengan enam mata dibelakang juara Asia, Iran yang mengutip sembilan mata.

“Kita telah bekerja keras selama ini dan saya gembira membawa Malaysia dalam kelompok 16 terbaik Asia,” kata Rakhpol selepas Malaysia mengesahkan tempat ke Piala Asia Futsal 2026.

Dalam aksi Kumpulan G, Malaysia berjaya menumpaskan UAE 1-0 dalam aksi pembukaan dan membenam Bangladesh 7-1 sebelum akur kalah 0-4 kepada Iran yang juga gergasi Asia.

Dalam aksi terakhir Kumpulan G menentang Iran, kelmarin, anak buah Rakhpol memberi tentangan hebat sambal dibantu sokongan lebih 8,000 penyokong yang hadir ke Stadium Tertutup SUKPA.

Iran mendahului skuad negara melalui Mehdi Mehdikhani dan Mohamad Hossein Derakhshani untuk Iran mendahului Malaysia 2-0 sebelum menambah dua lagi jaringan pada separuh masa kedua menerusi Hossein Tayebibidgoli dan Ali Kahlilvand Somehsofla.

“Walaupun tewas, perlawanan dengan Iran membuktikan kita boleh bersaing, kita tewas hanya 0-4 dan jika skuad negara lebih tenang, kita mungkin boleh jaringkan sekurang kurangnya dua gol ” katanya.

Rakphol juga gembira anak buahnya berjaya menunjukkan disiplin dan semangat juang tinggi terutama pemain muda seperti Mohd Awaludin Nawi, Mahadir Harahab,Mohd Danial Daim serta Syahir Iqbal Khan.

Rakphol Sainetngam juga berterima kasih kepada penyokong tuan rumah yang berjaya ‘kuning’ kan Stadium Sukpa,sekaligus meningkatkan semangat anak buahnya.

“Penyokong kita sangat luar biasa, dari mula lagi mereka telah menjadi nadi kekuatan pasukan, memainkan peranan sebagai pemain ke enam dengan baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN